Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memuji UMW Aerospace Sdn. Bhd., anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya dalam Kumpulan UMW, yang disenaraikan dalam Kohort Pembekal Berprestasi Tinggi Rolls-Royce 2021.
Penyertaan ini meletakkan UMW Aerospace diantara 5 peratus daripada pembekal global Rolls-Royce teratas selepas memenangi anugerah “Trusted to Deliver Excellence” pada tahun 2018.
UMW Aerospace adalah satu-satunya syarikat tempatan yang menjadi pembekal Tier 1 untuk Rolls-Royce.
Pada bulan Ogos 2015, UMW Aerospace telah menandatangani kontrak 25 + 5 tahun dari Rolls-Royce untuk membuat dan memasang selongsong kipas untuk enjin Trent 1000 dan Trent 7000.
UMW Aerospace, yang berpusat di UMW High Value Manufacturing Park di Serendah, telah berjaya menyerahkan selongsong kipas pertama untuk enjin Trent 1000 pada bulan November 2017.

Manakala selongsong kipas perdana untuk enjin Trent 7000 telah diserahkan pada Oktober 2020. Selongsong kipas dihantar ke fasiliti Rolls-Royce di Singapura.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Kami bangga dan rendah hati dengan pencapaian ini. Komitmen penuh terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi telah membawa kami kepada pengiktirafan ini.
Dalam jangka waktu yang singkat, UMW Aerospace telah berjaya membuktikan kemampuan sebagai penggiat terkemuka dalam industri aeroangkasa yang dikawal-selia.
Tambahan lagi, pengiktirafan ini meletakkan UMW Aerospace sebagai antara penggiat yang lebih berkelayakan dalam industri dan berada di dalam senarai yang terpilih untuk mengambil bahagian dalam projek Rolls-Royce yang lain. Kami percaya bahawa pencapaian ini adalah bukti yang menunjukkan Malaysia berpotensi untuk menjadi hab aeroangkasa di ASEAN.”
Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, menyatakan bahawa, “Kerajaan sangat komited dalam mengembangkan industri aeroangkasa di Malaysia dan kami sangat bangga dengan kejayaan UMW Aerospace yang telah disenaraikan dalam Kohort Pembekal Berprestasi Tinggi Rolls-Royce 2021 dan diiktiraf sebagai lima (5) peratus teratas pembekal global Rolls-Royce.

MIDA memuji Rolls-Royce di atas keyakinan dan peluang yang diberikan kepada UMW Aerospace untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan mereka. Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa Malaysia sememangnya lokasi yang ideal untuk memenuhi permintaan sektor aeroangkasa yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik.”
Melalui pelbagai agensi, termasuk MIDA, Kerajaan akan memastikan pembangunan bagi industri aeroangkasa tempatan dalam jangka masa panjang, termasuk memperluaskan rantai bekalan aeroangkasa dengan penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS); sejajar dengan usaha Malaysia untuk menjadi negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2030.
Sebagai agensi penting yang mempromosikan pelaburan negara, MIDA mensasarkan untuk mengembangkan lagi lebih banyak syarikat tempatan Tier 1 seperti UMW Aerospace dan seterusnya memupuk mereka untuk menembusi pasaran baru, serta bekerjasama dengan penggiat utama industri aeroangkasa, termasuk Pengilang Peralatan Asal (OEM) di arena global.
Sektor aeroangkasa akan kekal sebagai salah satu industri perniagaan yang mempunyai pertumbuhan tinggi dalam Rancangan Malaysia ke-12, yang akan diumumkan tahun ini. MIDA secara konsisten akan mempromosikan industri aeroangkasa selaras dengan Pelan Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Hari ini, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada 230 buah syarikat dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aero, pendidikan dan latihan, sistem integrasi dan, aktiviti kejuruteraan dan reka bentuk, dengan sokongan daripada 27,500 orang pekerja.





































