Tindakan emosional Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan yang menuduh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai “perlakuan satu jenayah” bagi penyediaan dos vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sangat serius.

Lebih memburukkan keadaan, ungkapan “Kepala Otak Dia” oleh bekas Menteri Kewangan itu di dalam satu video dimuatnaik dalam Facebook yang merujuk kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK adalah satu penghinaan kepada seorang Menteri Kabinet dalam kerajaan PN. 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris berkata, ini satu perbuatan kurang ajar dari seorang pemimpin kanan parti DAP yang dilihat terlampau beremosi berikutan tidak boleh menerima kenyataan Khairy Jamaluddin yang menjelaskan tawaran dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada kerajaan Pulau Pinang adalah palsu, malahan pemeriksaan pihak Kerajaan mendapati syarikat yang membuat tawaran berkenaan, Xintai Development Enteprise Ltd, berpangkalan di Hong Kong, tidak wujud.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu berkata, tindakan pelik Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow boleh dipersoalkan dan dianggap tidak mempunyai integriti serta pentadbiran yang tidak cekap andainya benar seperti mana yang dimaklumkan oleh Khairy Jamaluddin.

“Ini bukan satu jenaka atau perkara yang perlu dipolitikkan. Saya menganggap tindakan pemimpin DAP dan kerajaan Pulau Pinang telah “rosak mentaliti” demi meraih simpati rakyat serta menuduh secara jahat kepada kerajaan PN.

“Malahan, pada awal pandemik COVID-19 melanda negara ini, tiada apa-apa pun pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang boleh dibanggakan untuk mengekang wabak ini.

“Sehubungan itu, saya turut menyokong tindakan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk membuat laporan polis di atas tindakan kerajaan Pulau Pinang yang dikatakan menggunakan surat palsu untuk menuduh kerajaan PN menghalang pemberian vaksin ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.