Perodua Aruz diperbaharui untuk 2021 – tambahan kemudahan, warna baharu, harga sama.

SUV tujuh-tempat duduk terlaris di Malaysia, Perodua Aruz, telah diperbaharui untuk 2021 tanpa perubahan harga, iaitu RM68,526 untuk varian X dan RM73,226 untuk varian AV, atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia.

Kedua-dua varian kini dilengkapi dengan pemijak sisi bagi memudahkan penumpang masuk dan keluar dari kenderaan, serta penguncian pintu automatik apabila kelajuan melebihi 20 km/j (pintu akan dibuka secara automatik sekiranya berlaku perlanggaran).

Warna baharu Passion Red (eksklusif untuk varian AV) menyertai warna-warna Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver dan Ivory White yang sedia ada.

“Perodua mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan kami yang telah memberikan maklum balas dalam membantu kami menambahbaik Aruz dalam memenuhi keperluan dan kehendak sebenar rakyat Malaysia dengan lebih baik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Dengan jualan lebih 60,000 unit sejak kelahirannya pada 2019, Perodua Aruz telah menjadi SUV terlaris di Malaysia pada 2019 dan 2020. Namun, seiring dengan prinsip Kaizen, kami percaya bahawa tetap ada cara untuk menjadikan produk kami lebih baik.

“Penambahbaikan Aruz ini sejajar dengan rangka tindakan Perodua Smart Build; satu lagi contoh kerjasama simbiotik kami dengan para pembekal kami untuk menyesuaikan produk kami dengan keperluan dan kehendak rakyat Malaysia, dan melaluinya, meningkatkan lagi kemampuan para pembekal kami ke arah keberdikarian sepenuhnya,” katanya.

Perodua Aruz menawarkan ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh,
praktikaliti dan kos pemilikan yang rendah dalam bentuk tujuh tempat duduk yang kompak.

Enjin empat-silinder 1.5 liter Dual VVT-i dengan blok aluminium bergabung dengan transmisi automatik kawalan elektronik dan Eco Idle untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l, menjadikan Aruz sebuah Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Barisan tempat duduk kedua yang dibahagi 60:40 serta barisan ketiga yang dibahagi 50:50 boleh dilaras, dilipat dan digolek untuk menghasilkan pelbagai konfigurasi.

Dengan enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang terdapat pada semua varian, serta sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 pada varian AV, Perodua Aruz memegang penarafan keselamatan maksimum lima-bintang ASEAN NCAP.

Lampu hadapan LED, rim aloi dwi-tona 17-inci, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sistem infohiburan skrin sesentuh dengan paparan kamera undur terdapat pada semua varian, manakala varian AV menambah lampu automatik, lampu kabus hadapan, kerusi kulit, HDMI, Smart Link, navigasi dan perakam video pemanduan.

“Antara semua model kami, Perodua Aruz menikmati penurunan harga yang paling curam akibat pengecualian cukai jualan kerajaan, iaitu sebanyak 6%, atau lebih RM4,000. Oleh itu, jika anda inginkan Aruz, tempahlah sekarang – pengecualian cukai jualan dijangka berakhir kurang daripada 60 hari lagi,” katanya.