Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican menerima sumbangan 500 kotak makanan daripada Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Sheikh Abdul Rahman Ibrahim Al- Robian di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Sheikh Abdul Rahman, sebanyak 4,500 kotak telah dibahagikan kepada NGO-NGO Islam untuk diagihkan kepada kumpulan sasar untuk dimanfaatkan sempena pada bulan ramadan ini.

“Program tahun ini agak besar berbanding program sebelum ini. Sebelum ini, kita mengagihkan buah kurma pada NGO dan penjawat awam di Putrajaya dan mengagihkan keperluan kitab suci Al-Quran bagi sekolah-sekolah tahfiz, masjid dan surau,” katanya.

Mustapha berkata, program itu amat bermakna dan ini kali pertama beliau terbabit secara langsung mengagihkan kurma dan bakul makanan.

Sheikh Abdul Rahman Ibrahim Al Robian (kiri) menyerahkan kotak bakul makanan Ramadan kepada Mustapha

“Program ini sesuatu yang harus dipuji ketika ini kerana ramai rakyat yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara. Ramai yang hilang sumber pendapatan dan pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, kotak makanan ini mengandungi keperluan asas seperti, beras, minyak, gula, tepung, kicap, makanan ringan dan lain-lain lagi dengan semua barang-barang tersebut adalah keluaran produk Bumiputera.

Mustapha juga turut merakam penghargaan yang tinggi kepada Kedutaan Arab Saudi atas keprihatinan mereka terhadap rakyat di negara ini.

“Saya berharap NGO-NGO Islam perlu sentiasa mengadakan aktiviti, perbincangan dan mesyuarat bersama supaya perpaduan sesama mereka akan bertambah erat dan melibatkan diri dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh kedutaan Arab Saudi. Ini boleh merapatkan hubungan sesama NGO Islam.

“Hubungan erat yang telah sedia terjalin antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia adalah manifestasi kepada semangat persaudaraan untuk saling menguatkan seperti yang dituntut oleh agama,” katanya.