Meskipun model ini sudah diperkenalkan di pasaran pada Jun 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19, sesi pandu uji terpaksa ditunda beberapa kali dan akhirnya kunci kenderaan SUV Toyota RAV4 ini sampai juga ke tangan penulis.

SUV yang diletakkan dalam segmen C ini adalah generasi kelima dipasarkan di Malaysia selepas pertama kali dibawa masuk oleh syarikat pengimport kenderaan persendirian pada pertengahan tahun 90-an menerusi model generasi kedua.

Secara ringkas, RAV4 adalah sebuah SUV kompak yang menawarkan pengendalian yang praktikal lebih kepada pemanduan bandar atau SUV urban dan keselesaan seakan sebuah kereta penumpang.

Pembangunan Toyota RAV4 menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), dan platform berkenaan sebenarnya sudah digunakan secara meluas menerusi model-model lain di Malaysia seperti Corolla, Camry dan C-HR.

Justeru, kehadiran semula RAV4 dengan rekaan yang lebih moden dan dipadankan dengan teknologi terkini menjadi pesaing terdekat kepada model SUV yang sekelas dengannya seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5.

Terdapat dua jenis model yang dipasarkan oleh UMW Toyota Motor Sdn Bhd iaitu model dengan kuasa enjin 2.0 Liter dan 2.5 Liter.

Rekaan Luaran

Secara kasar, dapat dilihat rekabentuk dan saiz RAV4 berkuasa 2.5 liter yang dipandu uji Prebiu.com kali ini sedikit besar berbanding dua model pesaingnya dengan secara teknikal panjangnya 4,600 mm, 1,855 mm lebar dan 1,685 mm tinggi.

Apa yang menampakkan saiznya lebih besar ialah rekaannya yang lebih berkotak dan garis badan yang tajam daripada hadapan hingga ke belakang seakan rekaan SUV abangnya Lexus RX yang tampil lebih maskulin.

Jika dilihat rekaan hadapannya, ia tampil dengan gril trapezoid berlapis lebar yang menyerlahkan gaya lasak SUV ini.

Apabila dilihat pada pandangan bahagian sisi, SUV ini tampil elegan dengan muncung hadapan yang kelihatan tajam manakala bahagian belakang lebih melandai serta lebar. Ini adalah faktor yang membezakan penampilan RAV4 berbanding SUV lain yang ada dipasaran tempatan.

Rekaan Dalaman

Dimensi lebar 1,855mm dengan jarak roda 30mm lebih panjang memberikan ruang kabin lapang dan dilengkapkan papan pemuka meter Optitron premium yang jelas dan terang.

Meter Optitron 7 inci dengan Paparan Pelbagai Maklumat, menyediakan maklumat terperinci mengenai kenderaan ini dan menawarkan pandangan hebat yang boleh ditukar kepada paparan analog atau digital.

Sistem infotainmen DVD-AVX 7 inci dengan enam pembesar suara dilengkapkan dengan ciri sambungan tanpa wayar seperti Mirrorlink, Miracast, AUX, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri arahan suara juga ditawarkan untuk varian ini.

Paling menarik ialah kerusi hadapan lebih tebal dengan sokongan lumbar belakang lebih besar untuk menampung postur duduk yang selesa mengikut pelbagai saiz badan. Kerusi pemandu boleh dilaraskan dengan fungsi 8-tetapan berserta sistem memori.

Kerusi belakang dengan nisbah lipat 60:40 menawarkan ekstra ruang but untuk memuatkan barangan seisi keluarga, termasuk ciri bukaan pintu but elektrik menerusi sensor gerak kaki yang memudahkan pengguna memunggahkan dan memuatkan barangan.

Ruang but adalah terbaik dalam kelas dengan bahagian pelapik lantai boleh diterbalikkan mengikut pelbagai kegunaan, dan boleh dilaraskan ketinggian untuk mendapatkan lebih ruang.

Pemasangan penebat bunyi pada lantai meningkatkan redaman bunyi dan mengurangkan tahap kebisingan, kekerasan dan gegaran (NVH) dalam kabin.

Ciri lain ditawarkan RAV4 adalah sistem kunci pintar dan lebih banyak soket USB sama ada dihadapan dan di dalam konsul perehat tangan untuk mengecas peranti elektronik, termasuk pad pengecas tanpa wayar yang beroperasi mengikut standard Qi. Juga ada banyak ruang meletak cawan atau botol.

Kemasan lain yang boleh dipuji ialah hampir semua bahagian separuh atas panel menggunakan material lembut di keliling kabin, papan pemuka dan panel dengan perincian jahitan serta kemasan warna coklat yang dapat dilihat di beberapa bahagian tertentu.

Agak menarik ialah terdapat ruang simpanan barang yang banyak dalam SUV ini seperti ruang panjang berhampiran papan pemuka pada bahagian penumpang hadapan dan ruang khas untuk mengecas telefon secara tanpa wayar.

Ciri lain ialah sistem pintar tanpa kunci, kawalan pendingin udara dua zon dengan corong belakang, cermin pandang belakang elektrokromik dan brek parkir elektrik dengan ciri HOLD sebagai standard.

Unit utama untuk infotainmen pula menggunakan skrin sentuh DVD tujuh-inci yang disambungkan kepada enam pembesar suara.

Sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto tersedia, melalui paparan panoramik 3D, yang membolehkan pemandu meninjau 360-darjah persekitaran kenderaan hanya dengan menekan satu butang. Terdapat juga perakam video digital di depan dan belakang.

Enjin

Sistem trenkuasa baharu Dynamic Force kini lebih ringan dan responsif menerusi enjin 4-silinder DOHC dengan teknologi pembakaran berkelajuan tinggi dan pemasaan injap boleh ubah pintar VVT-iE.

Enjin ini menawarkan kecekapan suhu terbaik di dunia pada tahap 40 peratus, iaitu dua kali ganda berbanding kebanyakan enjin pembakaran dalaman lain.

Kuasa enjin 2.5L RAV4 serba baharu ini mampu menghamburkan kuasa 205hp pada 243Nm digandingkan dengan transmisi automatik anjakan terus 8-kelajuan (Direct Shift 8-AT). Kapasiti tangki penuh SUV ini pula ialah sebanyak 55 liter.

Terdapat 3 mod pemanduan Eco, Normal dan SportJika mahukan pemanduan lebih mencabar gunakan sahaja pedal syif pada belakang stereng ini dan anda dapat rasakan tukaran gear yang cukup responsif sehingga lapan kelajuan.

Apabila mod Sport diaktifkan, panel meter secara automatik akan bertukar kepada warna merah manakala mod Eco berwarna hijau. Ciri ini kebiasaannya dipadankan pada kenderaan SUV buatan Eropah. Hebat bukan!

Jika hendak disenaraikan ciri yang dimiliki SUV ini sangat banyak dan boleh dikatakan RAV4 memiliki kelebihan tersendiri antaranya SUV ini tampil dengan rim aloi 18-inci lima jejari (tayar Bridgestone Alenza, saiz 225/60), lampu utama LED dengan DRL, lampu belakang LED, lampu dan pengilap cermin automatik serta pintu kargo belakang kuasa elektrik automatik dengan operasi gerak kaki.

Sistem Keselamatan

RAV4 juga lengkap dengan Toyota Safety Sense, yang termasuk di dalamnya ciri seperti sistem pra-perlanggaran, amaran penukaran lorong (dengan bantuan stereng dan bantuan mengekalkan lorong), kawalan melayar radar dinamik dan lampu tinggi automatik.

Sistem Isyarat Amaran Kegunaan Lorong (LDA), misalnya memberi isyarat dan membantu apabila kenderaan terkeluar lorong bagi memastikan kelancaran pemanduan.

Sistem Bantuan Dengan Pengawasan Kawalan Kegunaan Lorong (LTA), pula mengekalkan kenderaan di lorong tengah dengan mengesan laluan lorong ataupun kenderaan yang berada di hadapan.

Radar Dinamik Dengan Kawalan Suai Pandu (DRCC) untuk Semua Had Kelajuan, berfungsi
mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan hadapan dan membrek secara automatik ketika kereta di hadapan berhenti.

Ketika ciri DRCC ini diuji pada tahap kelajuan 80 km, penulis dapat melepaskan tangan di stereng dan membiarkan kenderaan ini dipandu secara autonomous atau bergerak sendiri dengan sedikit kawalan pada stereng apabila petunjuk amaran dipaparkan pada skrin meter.

Sistem Cahaya Automatik Lampu Alur Tinggi (AHB) akan bertindak menukar secara automatik antara cahaya alur tinggi dan cahaya alur rendah ketika diperlukan untuk memberi penglihatan jalan raya yang maksima.

Sistem Pra Pelanggaran (PCS), pula berfungsi dengan sistem amaran kepada pemandu dan juga sistem brek automatik apabila ia mengesan risiko pelanggaran.

Selebihnya, ia juga lengkap dengan tujuh beg udara, kawalan kestabilan dan amaran titik buta serta penunjuk tekanan tayar.

Kesimpulannya

Secara amnya, memandu RAV4 sebenarnya tidak banyak beza dengan memandu SUV yang lain namun setiap kenderaan memiliki kelebihan masing-masing, namun apa yang dapat dikatakan SUV ini lebih kepada ciri sebuah SUV buatan Eropah yang menggunakan DNA SUV Jepun.

Meskipun kenderaan ini dibariskan dengan model SUV buatan Jepun yang lain namun bagi penulis, dengan ciri dimiliki RAV4 ini sesuai dibandingkan dengan SUV buatan Jerman seperti Volkswagen Tiguan.

Ruang pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar

Ini kerana kemasan yang ditampilkan diruang dalamannya cukup eksklusif dan premium manakala kuasa enjinnya yang besar iaitu 2.5 Liter boleh dianggap cukup gagah untuk menarik beban dibelakangnya seperti sebuah bot atau motorhome.

Bagaimanapun, apabila bersaing daripada segi harga, tentu sekali RAV4 jauh lebih mahal berbanding model SUV Jepun yang lain atau SUV buatan Jerman yang menggunakan kuasa enjin lebih kecil tetapi menerima suntikan Turbo.

Namun, salah satu kelebihan yang dapat dirasai tentunya tahap sistem suspensinya yang berfungsi cukup baik apabila meredah laluan berlopak atau permukaan jalan raya yang tidak rata selain stabil ketika meredah hujan yang lebat.

Kedudukan jarak roda yang tinggi juga memberi kelebihan apabila mengharungi laluan jalan raya yang ditenggelami air banjir khususnya ketika musim hujan.

Pengenalan Toyota RAV4 pada tahun lalu menjadikan UMW Toyota Motor Sdn Bhd, satu-satunya syarikat kenderaan yang mempunyai barisan SUV paling banyak dipasaran untuk ditawarkan kepada pengguna di negara ini.

Sebanyak enam warna ditawarkan; Red Mica, Silver Metallic, Gray Metallic, Attitude Black, Dark Blue Mica dan White Pearl CS, yang dikenakan caj tambahan RM800. Jaminan kilang ialah selama lima-tahun, tanpa had perbatuan.

Untuk harga pula, RAV4 yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insurans dan tanpa SST dari RM215,664.50 bagi enjin 2.5L.