Mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai SUV pilihan popular sepanjang zaman sebagai sebuah kenderaan yang disegani di Malaysia, Toyota Harrier generasi keempat serba baru dilancarkan secara rasmi, meletakkan tanda aras baru bagi segmen SUV saiz sederhana urban dan membawakan makna baru tentang keringkasan yang elegan.

“Harrier serba baru ini tampil dengan sisi emosi, elegan dan ekspresif dan akan menarik lagi perhatian yang telahpun dinikmatinya dalam pasaran Malaysia selama ini,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Membawakan intipati SUV urban premium sejak pertama kali mula diperkenalkan pada 1997, Harrier telah melonjak menjadi sebuah nama yang dikenali di Malaysia disebabkan penggayaan dan keboleh-percayaan yang diberikan. Ini telah menjadikannya pilihan utama bagi tujuan keluarga ataupun perniagaan, bahkan bagi golongan kehormat.

Generasi keempat Harrier telah dilancarkan di Jepun pada Jun tahun lalu dengan matlamat untuk memberikan makna baru bagi premium.

Diedarkan oleh UMW Toyota Motor, Malaysia merupakan satu daripada dua negara yang menyaksikan Harrier dijual melalui saluran rasmi dengan jaminan penuh dan sokongan lepas jualan yang lengkap.

Harrier datang dengan jaminan kilang lima-tahun tanpa had perbatuan sebagai kelegaan kepada pemilik, serta sokongan lepas jualan yang menyeluruh melalui semua pusat servis rasmi Toyota seluruh negara dengan jaminan alat ganti yang sentiasa tersedia.

Rekaan Luaran

Penampilan barunya akan menarik perhatian ramai, terutama bahagian depan yang menawan, profil sisi yang kelihatan tegap serta bahagian belakang yang lebih tirus, menyuntik imej sporty bagi Harrier serba baru ini yang juga lebih mirip ke arah rekaan coupe.

Lebih besar daripada model sebelum ini, serta kedudukan lebih rendah dan ketegapan menyerlah, Harrier serba baru menampilkan bayangan lebih dinamik dan ekspresif oleh pereka Toyota yang cuba membayangkan konsep Dignified Elegance.

Konsep berkenaan dilanjutkan ke seluruh rekaan luaran, bukan hanya dari sudut gaya, tetapi juga dengan penggunaan material berkualiti tinggi untuk memaknai lagi aspek individualiti serta status Harrier sebagai SUV crossover premium.

“Harrier sejak dulu menjadi penentu corak dan gaya, mengambil pendekatan unik terhadap gaya serta pakej keseluruhannya telah berjaya meletakkan model ini jauh berbeza berbanding pesaingnya.

“Ia juga bukan hanya mengekalkan kedudukan sebelum ini tetapi juga sangat yakin untuk memberi definisi baru sebagai sebuah SUV premium zaman moden,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Satu perkara yang diberi perhatian khusus oleh jurutera Toyota misalnya, jelas Takeyama, adalah untuk mengurangkan lagi kebisingan, gegaran dan kekerasan (NVH) ke tahap baru, termasuk melalui penggunaan tingkap dengan penyerap bunyi berkecekapan tinggi, menjadikan ruang kabin jauh lebih senyap seperti selayaknya jangkaan terhadap sebuah kereta mewah.

“Matlamat utama kami adalah untuk menghasilkan kenderaan yang segar sepanjang masa, dan sebab itu jugalah model pertama Harrier masih relevan hingga kini dan tetap dicari walaupun dengan jangkaan moden hari ini.

“Evolusi Harrier sentiasa mengunjurkan sempadan, ia sentiasa di reka dengan kejuruteraan untuk menjadikannya pelopor serta menampilkan kemajuan terhadap bagaimana sifat premium ditafsirkan,” katanya lagi.

Enjin Baharu

Harrier serba baru dikuasakan oleh enjin terkini Dynamic Force (M20A-FKS) 2-liter empat-silinder DOHC dengan Dual VVT-i (Variable Timing dengan Intelligence) yang dikawal secara elektronik untuk mendapatkan maklum balas lebih pantas. Ia versi paling maju bagi sistem berkenaan yang dibangunkan oleh jurutera Toyota sejak diperkenalkan 30 tahun lalu.

Transmisi Direct Shift Continuously Variable Transmission (CVT) dengan Sequential Shiftmatic membolehkan penukaran gear berlangsung dengan lancar, memberikan tiga pengalaman pemanduan berbeza — ECO, Normal dan Sport.

Geometri suspensi depan dan belakang yang dioptimumkan pula memberikan struktur kukuh bagi Harrier menjadi lebih seimbang, meyakinkan, mudah dijangka serta masih berupaya memberikan kejituan pemanduan.

Dibangun menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-K, Harrier direka dengan struktur badan lebih kukuh dengan titik graviti lebih rendah untuk memberikannya keselesaan, kelincahan serta prestasi pemanduan yang lebih baik.

Harrier serba baru ini mempunyai kelebaran dan jarak antara roda yang masing-masing lebih 20 mm dan 30 mm berbanding model lama. Ketinggian pula dikurangkan sebanyak 30 mm. Karekter keseluruhannya disudahi dengan menggunakan rim aloi 18-inci.

Kelengkapan juga dipertingkat pada Harrier serba baru ini. Ia tidak hanya melibatkan pakej keselamatan lengkap melalui teknologi Toyota Safety Sense (TSS), tetapi juga dengan tahap baru yang lebih intuitif, mudah dan selesa hasil daripada kejayaan menjalinkan kelebihan antara teknologi dan penggayaan.

Wajah depan Harrier lebih menonjol diserikan oleh lampu utama Bi-LED baru yang memberikan tanggapan lebih tajam dan lebar. Lampu nyalaan siang bentuk L pula memberikan penampilan lebih meyakinkan.

Bahagian belakang pula kelihatan bersih dan ringkas, dihiasi hanya dengan lampu LED dan muncung ekzos berkembar untuk tampil sporty.

Ruang Dalaman

Bumbung matahari kekal yang khas pada Harrier pula dilengkapi dengan kaca elektro-kromatik yang boleh digelapkan melalui sentuhan butang kawalan.

Harrier baru ini juga memperkenalkan cermin pandang belakang paparan digital, mempamerkan imej langsung daripada kamera sudut- lebar berdefinisi tinggi, membolehkan penglihatan yang lebih jelas pada waktu malam dan menghapuskan silau.

Premium diberikan makna baru dengan tempat duduk balutan kulit menyeluruh; kerusi pemandu dengan larasan kuasa 12-arah; tiang stereng yang dinaikkan secara automatik untuk memudahkan pemandu keluar-masuk kenderaan; paparan Head-Up Display (HUD); pelantar pengecasan tanpa wayar; sistem pendingin hawa dua zon automatik dengan teknologi nanoeTMX; slot USB depan dan belakang untuk kemudahan; pintu ruang belakang dengan sensor gerak kaki serta sistem infotainmen maju dengan Apple CarPlay dan Android Auto dengan skrin sentuh lapan-inci.

Diimport sepenuhnya

Diimport sepenuhnya dari kilang Takaoka Toyota di Jepun, Harrier Luxury Grade ditawarkan dalam lima warna; Steel Blonde Metallic; Slate Grey Metallic; Precious Black; Dark Blue Metallic; dan warna khas White Pearl Crystal Shine.

Harrier baru ini dijual pada harga RM249,706.50, tanpa cukai jalan dan insurans.