Jiwa berniaga memang ada sejak kecil tetapi disebabkan minat mendalam dengan seni dunia foto, maka dipendamkan seketika.

Sebagai jurufoto, tugas harian ialah merakamkan peristiwa manusia termasuk mengambil gambar hartawan, usahawan, peniaga, penjaja dan penjual sejak lebih 20 tahun lalu yang melihat kejayaan demi kejayaan mereka.

Tidak kiralah bisnes apa yang diceburi, namun tersemat di hati bekas ketua jurugambar untuk mengambil keputusan yang drastik suatu hari nanti.

Begitulah semangat gigih dan tidak mengenal putus asa, Saiful Hizam Mansor, berusia lewat 40-an, yang sebenarnya mengambil beberapa kursus jangka pendek berkaitan cara mengendalikan gerai makanan, kulinari, penyediaan sajian dan bisnes F&B secara sambil-sambilan mula memberi inspirasi untuk memulakan perniagaan makanan.

“Dulu saya bertugas di akhbar The Sun sehingga dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Jurugambar dan kemudiannya sebagai Ketua Jurugambar dan Photo Editor di Focus Malaysia antara tahun 2012-2019.

“Allah SWT itu Maha Mengatur dan Maha Mengetahui…sebenarnya saya sudah mula berniaga sejak dua tiga tahun lalu di Johor Bahru. Macam-macam saya buat bersama isteri dan anak-anak seperti membuat roti, nasi Arab, nasi beriani, kacang pool dan kuih muih.

“Secara berskala sederhana sahaja namun kita berasakan sangat puas kerana pulangannya setimpal dengan apa yang kita usahakan.

“Penatlah juga… tapi memang betul bahawa 9/10 punca rezeki adalah datang dari apa yang kita usahakan atau niagakan,” katanya ketika ditemui Prebiu.com di gerainya baru-baru ini.

Paling istimewa yang menjadi tarikan gerainya terletak di Food Court BSN, Jalan P Ramlee, betul-betul bersebelahan mercu tanda bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) adalah sajian Bob’s Kacang Pool yang pasti mengiurkan peminatnya.

Keenakan rasa kacang pool pastinya menggiurkan terutama apabila melihat telur goyang di atas kuah yang dimasak dengan daging cincang.

Ditambah pula resepi tersendiri yang terdiri dengan hirisan bawang, lada benggala dan limau memercikkan aroma yang mengasyikkan.

“Tidak ramai yang mengetahui akan kacang pool ini rupa-rupanya, tetapi apabila dicuba sekali, ada pelanggan dah “repeat” enam tujuh kali,” kata Saiful yang tergelak kecil melihat telatah pelanggannya.

Dia juga memberitahu walaupun kesedapan kacang pool sememangnya terletak pada kuah pool itu, namun satu lagi keistimewaan kacang pool beliau ialah roti bakar yang wangi dan sangat lembut.

“Ini satu lagi kualiti yang saya jaga kerana adunan tepung roti yang ditempah khas dari Semenyih ini menjadikan ciri penting untuk menikmati kacang pool.

“Marilah datang mencuba makanan tradisi Johor ini,” katanya yang turut dibantu isteri dan anak-anaknya.

Kenapa anda harus mencuba Bob’s Kacang Pool:

1. Sarapan pagi yang lengkap dan sempurna
2. Goyangan telur yang menggiurkan
3. Makan satu tak puas
4. Gabungan kuah kacang dan daging yang terbaik antara yang terbaik
5. Resipi kuah yang unik dan istimewa
6. Tidak menggunakan sebarang garam, gula atau MSG
7. Roti yang diadun tepung khas dan tebal bakar yang memang kena dengan kuah
8. Perahan limau menambah rasa masam yang sedap

Di samping kacang pool, Saiful yang turut dibantu isteri dan ahli-ahli keluarga lain turut menjual nasi berlauk Kampung Air Dingin yang didatangkan khas terus dari dari Kelantan setiap hari.

Nampak gayanya, bukan sahaja peminat dari selatan tanah air sahaja, malahan peminat makanan dari pantai timur juga berpusu-pusu ke gerai bekas ketua jurugambar ini.

Di kala waktu pandemik COVID-19 ini, perniagaannya walaupun nampak terjejas namun platform tempahan secara online dan whatsApp turut memberi pulangan yang sangat baik.