Baru-baru ini terdapat segelintir pihak yang telah mengaitkan dan menuduh Atomy Malaysia Sdn Bhd menyebarkan dakwah Kristianisasi di negara ini.

Tohmahan ini telah berlegar di semua platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Whatsapp dan sebagainya. Dakwaan bahawa Atomy Malaysia menyebarkan fahaman Kristianisasi adalah satu tuduhan yang tidak benar, dusta, palsu, fitnah dan tidak berasas sama sekali.

Pengurus Besar Atomy Malaysia, Sewon Kim berkata, tohmahan berniat jahat itu ternyata telah menjejaskan imej korporat syarikat dan juga ahli-ahlinya yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang agama dan bangsa.

“Selain itu, ia turut menjejaskan kredibiliti syarikat di mata umum. Untuk makluman, menerusi peluang perniagaan yang ditawarkan Atomy Malaysia Sdn Bhd telah banyak membantu rakyat Malaysia dalam menjana sumber pendapatan, khususnya sewaktu pandemik Covid-19 ini.

“Kami ingin menegaskan bahawa Atomy Malaysia Sdn Bhd merupakan satu entiti yang bebas serta tidak terlibat dengan mana-mana fahaman politik, bangsa dan agama,” katanya.

Atomy Malaysia Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat jualan langsung dan bermotifkan perniagaan semata-mata. Polisi ini turut terpakai kepada semua ahli-ahlinya yang berdaftar di negara ini sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian keahlian dan polisi rasmi syarikat.

Atomy Malaysia tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana bangsa dan agama. Atomy merupakan sebuah platform terbuka yang menawarkan peluang kepada sesiapa sahaja daripada apa jua latar belakang yang berminat dalam menceburi peluang perniagaan yang ditawarkan oleh syarikat ini.

Sejak tahun 2016 lagi, Atomy Malaysia telah menjadi sebahagian daripada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Kami amat menitik beratkan tanggungjawab sosial korporat dan lebih RM1.8 juta telah dibelanjakan sejak dari tahun 2016 untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di negara ini.

“Dalam menangani tuduhan berniat jahat ini, Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan berterusan menyebarkan pembohongan melalui platform media sosial dan saluran-saluran lain.

“Kami menyeru semua pihak agar meneliti sewajarnya tindakan masing-masing yang berterusan menyebarkan tohmahan dengan berkongsi di media sosial dan apa jua platform. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, mereka dialu-alukan untuk menghubungi syarikat secara terus bagi mendapatkan maklumat secara jelas dan tepat,” katanya lagi.