Secara umumnya ramai yang beranggapan bahawa model paling laris dalam Volkswagen Group ialah Golf dan Polo tetapi fakta sebenarnya model SUV Tiguan adalah paling laris pada 2019.

SUV itu sudah memasuki banyak pasaran antarabangsa membabitkan 80 peratus negara dunia. Tiguan juga adalah SUV paling berjaya Eropah, dan fakta mendedahkan satu per tiga SUV popular dunia adalah Tiguan.

Sebanyak 2,495 unit Tiguan dihasilkan sehari pada 2019, dan secara purata SUV itu dikeluarkan setiap 35 saat di kilang serata dunia.

Jadi, dengan semua fakta yang diberikan ini menyebabkan Volkswagen Group mengambil langkah berani memperkenalkan model Tiguan Allspace iaitu versi Tiguan dengan jarak roda lebih panjang yang menjadikan ia SUV serba luas.

Apa yang paling menarik ialah model itu buat pertama kali dilengkapi barisan kerusi tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat penuh untuk ekstra ruang hingga 700 liter.

Jika tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat pula, ruang tambahan dimiliki ialah 1,775 liter, sekali gus menjadi antara SUV 7-kerusi terbaik menawarkan aspek ruang kepada pengguna.

Rekaan Luaran

Melihat kepada rekaan luaran, paling jelas kelihatan ialah garisan-garisan kontur badannya yang melakar dari arah hadapan hingga ke belakang. Secara kasar model Tiguan Allspace Highline 1.4 TSI yang dipandu uji kali ini juga kelihatan lebih panjang berbanding model Tiguan sebelum ini.

Aspek lain yang diberi perhatian ialah rekabentuk depan dan belakang yang terserlah menerusi kedudukan bonet hadapannya lebih tinggi dan bampar untuk penampilan agresif.

Penampilan sebegini menjadikan SUV ini kelihatan ‘gagah dan macho’ apabila berada di jalan raya manakala rekaannya seakan ‘tidak lapuk’ di zaman serta boleh diterima ramai walaupun mungkin akan berada dijalan raya pada 10 tahun akan datang.

SUV serba baharu itu juga dilengkapi lampu utama dan lampu belakang LED penuh, rim Kingston 18 inci dan lampu kabus di depan serta belakang.

Selain menitip beratkan aspek rekaan luaran, SUV Tiguan ini juga menawarkan keselesaan kepada pemandu dan penumpang apabila bonet belakangnya dilengkapi ciri butang elektronik untuk membuka dan menutup.

Rekaan Dalaman

Melihat kepada ruang dalaman, banyak ciri astetik dan fungsi boleh didapati pada Tiguan Allspace Highline.

Ruang dalamannya hadir dengan upholsteri kulit ‘Vienna’, tempat duduk elektrik 12-talaan untuk pemandu dan sistem pendingin hawa bersama kawalan suhu 3 zon demi keselesaan semua penumpang.

Terdapat corong penyaman udara untuk penumpang belakang pada baris kedua yang terletak ditengah-tengah.

Bagi keselesaan penumpang belakang iaitu barisan kerusi kedua, terdapat meja lipat disediakan untuk meletak barangan ringan seperti makanan dan minuman.

Kerusi barisan kedua dan ketiga boleh dilipat mengikut konfigurasi tertentu termasuk merebahkan kesemua kerusi bagi membawa barangan yang lebih besar.

Bagaimanapun, kerusi baris ketiga mungkin sesuai digunakan oleh kanak-kanak berusia bawah 12 tahun kerana kedudukannya agak sempit atau mungkin boleh digunakan untuk perjalanan singkat di dalam bandar.

Stereng multi fungsi yang dibalut kulit dengan kawalan manual enam kelajuan ‘pedal syif’ dan kawalan jelajah membuatkan pemanduan Tiguan Allspace Highline cukup menyeronokkan.

Ruang kabin juga dilengkapkan kluster instrumen kokpit digital bersaiz 11.7 inci dengan paparan TFT resolusi tinggi dalam paparan grafik 2D dan 3D untuk fungsi navigasi dan media. Lampu ambien juga disediakan di ruang dalaman memberikan pengalaman sebuah SUV yang premium dan eksklusif.

Skrin dengan enam pandangan boleh ubah menawarkan aspek personalisasi ke tahap baharu dengan lebih 30 pilihan kombinasi.

Ciri-ciri lain termasuklah pilihan ketersambungan yang banyak melalui unit utama dengan skrin sentuh Composition Media bersaiz 8”. Ia menyokong kamera belakang, selain sistem infohibur dan menu kenderaan yang lengkap.

Stereng yang dilengkapi pelbagai butang kawalan di kiri dan kanan membolehkan pemandu memberi fokus kepada pemanduan tanpa perlu mencari-cari butang kawalan di tempat lain.

Enjin, Prestasi

Tiguan Allspace Highline dijana enjin turbo suntikan terus 1.4TSI dengan transmisi klac basah direct shift 6-kelajuan (DSG) yang mampu menghamburkan kuasa 148hp dan tork 250Nm dengan penggunaan bahan api sekitar 7.3 liter per 100km.

Meskpun enjin berkuasa kecil namun dengan suntikan turbo, ciri pemanduan dirasakan cukup mantap dengan menggabungkan prestasi dinamik, dan pengalaman off-road sebenar, serta pada masa sama mengetengahkan DNA SUV Volkswagen baharu.

Bagaimanapun, sedikit perbezaan berbanding varian lebih premium iaitu Tiguan Allspace R-Line kerana varian Highline tidak dilengkapi dengan sistem 4MOTION, iaitu sistem pacuan semua roda yang turut dipasang pada Golf R.

Dengan 4MOTION, aspek cengkaman, pecutan dan keupayaan off-road jentera ini telah dipertingkatkan. Sistem 4MOTION itu berfungsi selari dengan sistem-sistem keselamatan aktif yang lain di dalam kereta seperti sistem brek anti kunci (ABS), Program Kestabilan Elektronik (ESP) dan Hill Descent Control (HDC).

Ciri Keselamatan

Ciri keselamatan utama terdiri daripada enam beg udara, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantuan Brek (BA), brek multiperlanggaran (MCB), Sistem Respons Rempuhan Pintar (ICRS), Brek Parkir Elektronik (EPB) dan kawalan pegun bukit (HHC).

Ketika kereta ini dipandu dilaluan yang agak mencabar dengan melakukan beberapa pendakian, SUV ini tidak mempunyai masalah melalui permukaan jalan raya yang tidak rata atau berlopak.

Jadi, anda tidak perlu risau jika mahu memandu SUV ini untuk tujuan mengembara di dalam hutan yang tidak perlu menempuh laluan yang terlalu lasak. Setakat nak ‘berkhemah’ di tepi sungai atau pantai cukup sesuai.

Warna

Varian Tiguan Allspace Highline didatangkan dalam warna biru (Blue Silk), putih (Pure White), hitam (Deep Black), kelabu (Platinum Grey) dan putih (Pyrite Silver).

Harga (pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2021)

  • Tiguan Allspace Highline : RM164,430.75

Pemilik akan menikmati penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Kesimpulan

Memandu uji Tiguan Allspace Highline ini sepanjang hujung minggu satu pengalaman yang menyeronokkan kerana ia sebuah SUV yang cukup praktikal daripada pelbagai aspek sama ada ruang dalaman dan prestasi enjin mahupun ciri sebuah SUV yang lasak.

Kelebihan SUV baharu ini yang menawarkan tujuh tempat duduk adalah satu pelengkap kepada golongan eksekutif muda yang mempunyai keluarga kecil bagi mencari sebuah SUV untuk kegunaan harian atau dipandu santai pada hujung minggu.

Selain itu, terdapat beberapa ruang bagi menyimpan barangan peribadi anda seperti laci dibawah kerusi penumpang hadapan, ruang simpanan pemidang berhampiran tayar simpanan serta kocek dibahagian pintu yang cukup besar dan luas.

Satu lagi ciri menarik ialah lampu kecil dibahagian belakang bonet boleh ditanggalkan menjadi sebuah lampu suluh dan boleh dilekatkan semula dengan sistem pengecasan semula.

Tidak dilupakan sambungan kepada kabel USB disediakan bagi penumpang hadapan dan belakang sekali gus menjadikan perjalanan jauh tidak membosankan.

SUV yang dipasang sepenuhnya di kilang pemasangan Volkswagen di Pekan, Pahang itu menggabungkan prestasi dinamik, pengalaman off-road sebenar dan mengetengahkan DNA SUV Volkswagen yang baru, menjadikannya cukup versatil serta menarik perhatian.