Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Ahli Panel Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Pengarah SPRM Selangor, Dato Alias Salim baru-baru ini.
Turut serta dalam rombongan itu ialah Pemangku YARM Mohd Rafee Md Aris, Setiausaha Agong YARM, Md Alimuddin Rahim; Ahli Jawatankuasa Pusat YARM dan AJK YARM serta dihadiri oleh Timbalan Pengarah SPRM Negeri Selangor, Abdul Razak Deraof dan para pegawai SPRM.
Dalam pertemuan itu, Alias menekankan bahawa SPRM Negeri Selangor telah menggerakkan usaha berterusan dalam semua sektor operasi.
Beliau berkata, pencegahan dan pengurusan di dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Akta lain yang berkaitan ke arah objektif Negara Bebas Rasuah sepertimana termaktub di dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).
“Untuk mencapai hasrat tersebut, pendekatan strategik dan holistik serta pelan proaktif telah dilaksanakan untuk memastikan SPRM terus menjadi agensi tertunggul.
“Oleh itu semua pihak diminta memberi kerjasama padu bagi menghapuskan rasuah demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Alias berkata, YARM boleh memainkan peranan bagi mendidik masyarakat dan “generasi muda tolak rasuah”.
Sementara itu, Mustapha berkata kerjasama erat NGO-NGO amat penting bagi membantu SPRM dengan memberi maklumat yang sahih kerana ketika ini terlalu banyak berita yang tidak benar wujud.
“Justeru, kerjasama strategik ini penting kerana negeri Selangor adalah negeri yang maju dan ramai pelabur luar negara yang berminat untuk melabur di sini. Keyakinan kepada kemakmuran dan bebas rasuah boleh menarik pelabur ke Selangor,” katanya.
Mustapha turut memuji langkah-langkah yang diambil oleh SPRM Negeri Selangor dalam semua aspek termasuk mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Dalam pertemuan itu juga, Mustapha juga turut menyentuh banyak perkara khususnya beberapa negara Asean kini mula mengamalkan integriti dan anti-rasuah ini sesuatu yang amat baik serta memberi keyakinan kepada pelabur luar untuk melabur ke dalam negara mereka.