Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai “Adi Wira Malaysia” dalam mensejahterakan ekonomi kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara dengan memperkenalkan formula ekonomi secara berterusan iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, perjuangan adi wira dalam darah daging Kerajaan PN terus menyantuni kebajikan rakyat dan proses pemulihan ekonomi dalam pelbagai sektor menerusi PEMERKASA dengan peruntukan RM20 bilion, dengan suntikan fiskal baharu oleh Kerajaan berjumlah RM11 bilion.

“Bertiangkan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong
perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan, tidak ada musabab mengapa langkah Kerajaan PN menjadi sasaran kritikan pihak
tertentu.

“Pastinya rakyat terus menarik nafas lega dan pengusaha-pengusaha sektor ekonomi dan
industri negara dibantu sehabis baik dalam memastikan tiada kumpulan masyarakat yang
tercicir.

“Kami akan terus memantau dan mendengar keluh kesah dan nadi denyut rakyat jelata dalam menjadi suara rakyat untuk disampaikan secara terus kepada “Adi Wira” Kerajaan PN yang telah menunjukkan komitmen luar biasa sepanjang setahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, rakyat pastinya tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan Kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai “Bapa Kesejahteraan Rakyat Negara” yang sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib rakyat.

Katanya, berpegangkan kepada amanah yang dipikul, maka sudah tentu tanggungjawab dan keikhlasan menjadi cerminan kepada keputusan yang efektif dan efisien.