Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara akan menjemput Kementerian Pendidikan bagi mendapat gambaran yang jelas, tepat dan benar berhubung kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 yang menimbulkan keresahan dan kebimbangan kesejahteraan awam secara berterusan.

Selain Kementerian Pendidikan, pihak yang mencetuskan polemik iaitu Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dua mantan Menteri Pendidikan Malaysia serta beberapa pakar dalam bidang sejarah Malaysia turut akan dijemput bagi mendapat penjelasan yang seimbang dalam sesi pendengaran mesyuarat kaukus di Parlimen Malaysia.

Razali Idris

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata,  polemik kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mempunyai unsur-unsur manipulasi fakta berkaitan ideologi komunis termasuk mewujudkan unsur-unsur mengagungkan komunis dalam perjuangan negara mencapai kemerdekaan perlu diberikan penjelasan yang sewajarnya oleh pihak berwajib.

Beliau berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara telah mengadakan satu mesyuarat secara maya bersama anggota jawatankuasa minggu lalu yang antaranya, turut membincangkan soal kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 yang dikatakan telah dimanipulasikan.

Sehubungan itu, kaukus membuat ketetapan bahawa keperluan menjemput Kementerian
Pendidikan serta pihak lain termasuk mantan Menteri yang difikirkan wajar untuk hadir di depan sesi pendengaran mesyuarat kaukus kelak.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara akan mengutuskan surat rasmi menjemput Kementerian Pendidikan terlebih dahulu untuk hadir di depan sesi pendengaran mesyuarat kaukus dalam tempoh
terdekat ini.

“Hal sedemikian sangat serius kerana polemik ini pastinya memberi kesan dan membabitkan golongan pelajar, guru, pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) serta sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

“Soal yang membabitkan pendidikan termasuk fakta sejarah perlu dilihat secara ilmiah dan intelektual, fakta yang benar dan tepat, tetapi bukanlah terarah dari sudut mainan politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Untuk makluman, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berfungsi untuk meneliti, menyiasat dan melaporkan apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis, termasuk apa-apa cadangan, usul, petisyen, laporan atau dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat berdasarkan kepada keadaan dan isu-isu semasa.

Kaukus ini melalui Jawatankuasa Pemilih yang telah diberikan kuasa oleh Majlis melalui Usul Pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih dibawah Peraturan Mesyuarat 70 pada 21 September 2020 bolehlah memanggil orang hadir dihadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat.