Pengenalan XC40 Recharge T5 R-Design memperkukuh visi Volvo dalam aspek kelestarian, menjadikan satu-satunya jenama automotif di Malaysia dengan rangkaian kenderaan elektrik hibrid plug-in penuh.

Selangkah lebih dekat untuk mencapai cita-citanya bagi mengurangkan pelepasan karbon bagi setiap kereta sebanyak 40%, Volvo Car Malaysia secara rasminya melancarkan Volvo XC40 Recharge T5 R-Design yang baharu di Malaysia.

Melalui inisiatif ini, Volvo Car Malaysia kini satu-satunya jenama automotif di Malaysia yang menawarkan kereta pemasangan tempatan (CKD) bagi kesemua barisan kereta hibrid plug-in (PHEV) mereka.

Dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo, buat pertama kalinya Volvo XC40 Recharge T5 dilengkapi dengan enjin tiga silinder turbocharged 1.5 liter dengan rangkaian kuasa Drive-E, dengan motor elektrik yang dipasang pada kotak gear automatik dual-clutch tujuh-kelajuan bagi menggerakkan roda hadapan.

Direka untuk bandar dan planet, binaan enjin berkembar ini memberikan pemacuan yang lebih mampan, dengan pelepasan CO 2 hanya 50 gram per kilometer, di samping mengekalkan kemewahan dan prestasi Volvo.

“Kami amat teruja kerana akhirnya kami dapat menawarkan salah satu SUV terbaik kami sebagai kenderaan elektrik hibrid plug-in, dan seterusnya melengkapkan barisan kenderaan
PHEV kami.

“Pelancaran XC40 Recharge T5 menandakan kami telah bersedia untuk cara hidup yang lebih hijau pada masa yang akan datang. Dengan demikian kami akan terus berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari dan akan memainkan peranan kami untuk bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon kami, tetapi juga membantu pelanggan kami mengurangkannya,” kata Nalin Jain, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

Recharge T5 merupakan hasil gabungan kuasa sebanyak 262 hp dan daya kilas 425 Nm, sementara daya kilas 160 Nm dan daya kuasa setinggi 82 hp dihasilkan dari motor elektrik
untuk memberikan pecutan serta merta.

Dengan menggunakan enjin petrol, XC40 Recharge T5 mencapai 100km/j hanya dalam masa 7.3 saat dan kelajuannya dihadkan pada 180km/j setelah pengumuman dibuat oleh syarikat pada bulan Mac 2020 yang lalu.

Keselamatan dan Teknologi

XC40 Recharge T5 yang diperbuat di Sweden dan dipasang di Malaysia, dilengkapi dengan sistem teknologi keselamatan, kesalinghubungan dan infotainment yang merupakan sistem
pemenang anugerah.

Sistem-sistem ini sama dengan yang terdapat dalam model-model Volvo yang lain. Ia juga dihasilkan dengan kawalan dan kepakaran berkualiti tinggi yang sama daripada Volvo, dengan meneruskan komitmen mereka untuk mengutamakan keselamatan buat pelanggannya dan juga memberi mereka kebebasan untuk memandu secara peribadi, lestari dan selamat.

Sebahagian teknologi dalam XC40 Recharge T5 termasuk ciri-ciri keselamatan dan bantuan kepada pemandu seperti sistem Pilot Assist, City Safety, Run-off Road protection and mitigation dan Cross Traffic alert dengan sokongan brek.

Ciri-ciri ini akan membantu meningkatkan keyakinan pemandu dan meningkatkan keselesaan untuk keseluruhan pemanduan yang lebih selamat. XC40 Recharge T5 menawarkan lima mod pemanduan berbeza untuk pengalaman pemanduan yang lebih dinamik: Hibrid (tersedia), Tulen, Off-road, Berkuasa dan Individu.

Melalui ciri-ciri ini, Volvo Car Malaysia akan memastikan untuk memberikan kepada pelanggannya kriteria yang sama cemerlang, kebolehpercayaan dan prestasi kereta mewah kepada rakyat Malaysia.

Recharge R-Design

Volvo XC40 Recharge T5 hampir serupa dengan varian XC40 yang lain, menampilkan reka bentuk takrifan kecantikan Skandinavia yang elegan dengan mempamerkan imej Volvo dan
gabungan penampilan yang cantik selari dengan keperluan dan fungsinya.

Mengetengahkan penampilan bergaya dan moden, XC40 yang baharu mengekalkan reka bentuknya yang berani dan ekspresif, menonjolkan hiasan khas trim R-Design, yang
membolehkan pemandu lebih menyerlah ketika menjelajah di kota raya tanpa bersaing dengan kenderaan yang lain.

Kereta ini juga dilengkapi dengan soket pengecas di bahagian hadapan kiri. Di samping itu, tempat penyimpanan di kabin telah direka untuk menyediakan ruang penyimpanan yang lebih praktikal di bahagian pintu pemandu, termasuk cangkuk yang boleh ditarik untuk menggantung barang.

“Dalam aspek keselamatan, reka bentuk dan prestasi untuk model ini adalah sama seperti dengan model Volvo yang lain. Melalui dedikasi pasukan kami, kami yakin kereta ini memenuhi ciri-ciri yang akan memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Pada masa yang sama, kami berharap pelancaran XC40 Recharge T5 akan memberikan pilihan yang lebih lestari bagi rakyat Malaysia dan mendorong mereka untuk berfikir supaya sama-sama mengambil langkah aktif untuk lebih lestari sehingga kita dapat mengekalkan persekitaran dan masa depan kita, ” katanya.

XC40 Recharge T5 dijual pada harga RM255,888, kini dikurangkan menjadi RM241,997.04 selepas pengecualian cukai jualan (atas jalan, tanpa insurans) dan akan tersedia untuk dilihat di semua pengedar Volvo yang sah di seluruh negara bermula hari ini.

Pada masa yang sama, Volvo XC40 juga boleh ditempah secara dalam talian melalui laman web Volvo Car Malaysia sebagai alternatif yang lebih selamat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.

Kerajaan baru-baru ini telah melanjutkan pengecualian cukai jualan untuk semua pembelian kenderaan hingga 30 Jun 2021.

Pelanggan-pelanggan juga berpeluang untuk memilih lima warna yang berbeza: Blackstone, Crystal White Pearl, Bursting Blue Metallic, Glacier Silver Metallic dan Coral Red Metallic.