Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) menyokong cadangan yang dibuat oleh Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) dalam memohon Kerajaan mengambil langkah segera untuk membuat peraturan mengawal selia industri vape di Malaysia dan merealisasikan potensi industri ini.

MEVTA, badan persatuan industri vape yang mewakili lebih daripada 2,000 ahli peniaga yang berniaga dalam industri vape Malaysia, turut mengesahkan industri vape di negara berpotensi besar dan telah berkembang menjadi satu industri yang matang serta mempunyai ekosistem teratur; daripada pengilang, pengimport serta pekedai vape yang majoritinya diusahakan golongan Bumiputera.

Timbalan Setiausaha Agung, Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Syamil Hanafiah berkata, ramai usahawan tempatan terutamanya usahawan Bumiputera telah melabur dalam industri vape sejak satu dekad yang lalu dan ini memperlihatkan industri vape tempatan semakin berkembang sehingga hari ini dengan wujudnya satu ekosistem yang teratur.

Syamil Hanafiah

“Kami berpendapat akan terdapat lebih banyak usahawan tempatan akan dilahirkan dalam industri ini termasuk pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing sekiranya peraturan yang sewajarnya dibuat dan diperkenalkan untuk industri vape di Malaysia.”

“Ini bukan sahaja dapat menjana aktiviti ekonomi untuk usahawan dan peniaga tempatan, malahan dapat mencipta peluang pekerjaan terutamanya untuk golongan Bumiputera.

“MEVTA berpendapat industri ini akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam industri vape terutamanya dalam bidang pembuatan, pemasaran, pengedaran dan penjualan apabila peraturan yang sewajarnya diperkenalkan,” katanya.

Syamil juga mengulas hasil penemuan daripada Kajian Industri Vape Malaysia yang kaedah diterbitkan oleh DPVM baru-baru ini berkata, kajian tersebut mengesahkan terdapat banyak pengguna vape di Malaysia dan industri yang besar telah diwujudkan di Malaysia sekali gus ia adalah satu fakta yang tidak boleh diketepikan.

Kajian DPVM yang diterbitkan baru-baru ini melaporkan bahawa industri vape kini bernilai RM2.27 billion yang melibatkan 3,300 perniagaan dimana kebanyakannya diusahakan oleh
usahawan Bumiputera yang telah mewujudkan lebih daripada 15,000 pekerja dalam industri vape.

Kajian tersebut turut menunjukkan terdapat 1.12 juta pengguna vape di Malaysia berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malah MEVTA percaya bahawa saiz industri ini adalah lebih besar kerana ramai dalam industri ini yang merangkumi pekedai sehingga pengilang memilih untuk tidak membuat pemasaran secara terbuka.

Ini adalah kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia masih lagi tidak membuat pengiktirafan yang sewajarnya ke atas produk vape walaupun semakin ramai perokok berhenti merokok dan beralih kepada vape kerana ramai sedar ia telah terbukti di peringkat antarabangsa bahawa vape adalah kurang mudarat berbanding merokok dan efektif untuk membantu perokok berhenti merokok.

“Agensi kesihatan UK, Public Health England telah merumuskan bahawa vape adalah 95% kurang mudarat berbanding merokok dan pendirian ini disokong pelbagai pihak termasuk NGO kesihatan awam antarabangsa dan agensi kesihatan negara New Zealand dan Kanada.

“Perkara ini telah disampaikan pihak MEVTA kepada Kementerian Kesihatan Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Namun pihak Kementerian masih tegas tidak membuat pengiktirafan yang sewajarnya ke atas produk vape,” katanya lagi.

Pihak MEVTA juga berpendapat percukaian eksais yang diperkenalkan ke atas produk vape perlu diperluaskan untuk merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin dan peraturan diperkenalkan untuk membenarkan nikotin digunakan dalam cecair vape.

“Buat masa ini, hasil cukai untuk Kerajaan dari industri vape adalah sangat kecil kerana cukai hanya dikenakan kepada produk yang tidak bernikotin. Mengikut anggaran MEVTA, tidak sampai 1% produk vape yang tidak mengandungi nikotin terjual di pasaran pada masa ini,” katanya.

Oleh itu, percukaian eksais ini perlu diperluaskan untuk merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin dan peraturan perlu diperkenalkan dengan segera termasuk peraturan yang membenarkan nikotin digunakan dalam cecair vape seperti yang dilihat di negara maju.

“Kami memohon agar Kerajaan mengambil kira aspek-aspek ini untuk membolehkan
industri vape di Malaysia merealisasikan potensinya,” katanya.