Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ telah dilancarkan secara rasmi untuk meningkatkan sokongan terhadap minyak sawit dan mendorong orang ramai menghargai peranan dan sumbangan penting komoditi ini dalam membantu pertumbuhan sosioekonomi yang mampan dan menyeluruh.

Selaras dengan norma baru yang telah ditetapkan, kempen tersebut telah dilancarkan secara maya oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dan disiarkan langsung di halaman Facebook Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Dalam majlis maya ini, satu laman sesawang khas, www.sawit.com.my dan peraduan dalam talian telah dilancarkan untuk orang ramai mendapatkan maklumat lanjut tentang khasiat minyak sawit serta peranan dan sumbangannya kepada pertumbuhan sosioekonomi.

Dr Mohd Khairuddin berkata, minyak sawit sememangnya satu anugerah Tuhan kepada kita. Bermula dengan penanaman komersial yang pertama pada 1917 di Estet Tennamaram di Selangor, sawit memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Industri minyak sawit Malaysia pada hari ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada penduduk malah merupakan satu sumber utama penyumbang pendapatan negara.”

Minyak sawit mempunyai fungsi sosial dan ekonomi yang penting termasuk menjana pendapatan melalui tukaran mata wang asing, menyediakan pekerjaan dalam pelbagai bidang dan menjadi sumber bahan mentah utama bagi pengeluaran barangan makanan dan bukan makanan.

Kesemua ini penting untuk menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Di peringkat global, minyak sawit berperanan penting menjamin bekalan minyak sayuran dan lelemak yang berterusan dan mampan.

Pada hari ini, Malaysia adalah negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia. Pada tahun lepas, Malaysia menyumbang sebanyak 26% kepada jumlah pengeluaran dan 34% kepada jumlah eksport minyak sawit dunia.

Dianggarkan pada hari ini 3 – 4 juta rakyat Malaysia bergantung kepada industri sawit sebagai punca pendapatan utama. Menariknya, minyak sawit juga berperanan dalam memerangi virus COVID-19.

“Minyak sawit merupakan bahan mentah utama dalam pembuatan sabun dan produk pensanitasi tangan.

Kedua-dua produk ini bertindak sebagai benteng pertahanan pertama  serangan virus COVID-19. Secara tidak langsung, penggunaan produk-produk bukan makanan berasaskan minyak sawit telah membuka satu peluang perniagaan kepada usahawan-usahawan dalam bidang farmaseutikal pada waktu dan ketika yang mencabar ini,” katanya.

Menyedari peranan dan sumbangan penting minyak sawit, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang telah dilancarkan secara tidak rasmi pada 19 November 2020 yang lalu.

Kempen itu bertujuan membina kesedaran dan menyemai rasa bangga dan penghargaan di kalangan rakyat tempatan terhadap sumbangan besar minyak sawit kepada negara

Pelbagai aktiviti  promosi sehingga ke akhir tahun 2021 bakal dilakukan di dalam Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ ini untuk meningkatkan penghargaan umum terhadap pelbagai manfaat minyak sawit Malaysia.

Ini termasuklah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pendidikan, penyebaran maklumat am secara visual dan aktiviti di media sosial.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ dan peraduan dalam talian, sila layari laman sesawang, www.sawit.com.my