Keperluan pendidikan bagi anak-anak pastinya terus berjalan dan diteruskan walaupun negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Selaras dengan kemajuan negara dan era digital kini, adalah disarankan TV pendidikan boleh diperkasakan dalam menambahbaik sistem Pendidikan negara.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, ini adalah satu keperluan kini dimana pelajar-pelajar hanya belajar dari rumah disebabkan peningkatan kes COVID-19.

Beliau berkata, siaran TV pendidikan perlu diperkasakan khususnya untuk pelajar Tahun 1 dan 2 serta pelajar-pelajar yang terbabit dengan peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Penambahbaikan TV pendidikan ini dilihat dapat membantu para pelajar dari golongan miskin yang tinggal di luar bandar dan pedalaman serta pada masa yang sama mungkin tidak mampu untuk membeli telefon pintar atau komputer riba.

“Lebih membebankan jika mempunyai anak yang bersekolah lebih dari seorang. Selain itu, masalah talian internet juga harus diambil perhatian kerana masih terdapat kawasan kawasan pedalaman taliannya perlahan malah tidak ada.

“Jadi dengan adanya siaran TV pendidikan yang memberi pengajaran sepenuhnya dapat menjimatkan kos ibubapa yang terkesan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini,” katanya selepas melihat ramai ibubapa yang mengeluh kerana terpaksa menyediakan telefon pintar dan komputer riba bagi tujuan pendidikan anak-anak melalui pembelajaran secara atas talian di rumah masing masing.

Beliau berkata, saluran TV pendidikan perlu diperbanyakkan dengan mewujudkan saluran pendidikan sekolah rendah daripada tahun satu hingga enam manakala pendidikan sekolah menengah daripada tingkatan 1 hingga tingkatan enam atas.

Katanya, apa yang diharapkan dengan penambahbaikan TV pendidikan ini dapat membantu pelajar-pelajar kita tidak ketinggalan dalam mempelajari pelajaran mengikut sukatan pelajaran yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan.