HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan model motosikal YZF-R25 (2021) versi dipertingkat untuk pasaran Malaysia dengan memperkenalkan pilihan warna baharu yang lebih garang, iaitu Cyan Metallic (sian).

Warna baharu itu akan ditawarkan bersama warna ikonik jenama itu, Yamaha Blue dengan kombinasi warna badan kekal sama.

Motosikal ini dijana menggunakan enjin 4-lejang 8-injap dwi-silinder 249cc DOHC penyejukan cecair berkuasa 35.5hp @ 12,000rpm dan tork 22.6Nm @ 10,000rpm dengan transmisi manual 6-kelajuan.

Rekabentuk rim aloi kekal seperti model 2019, manakala kapasiti tangki 14.3 liter, dan berat basah 166kg.

Bagaimanapun, Yamaha masih mengekalkan rekabentuk dwi-lampu utama LED gaya superbike YZF-R1 dengan corong ambilan udara besar di tengah, dan cermin sisi pada fairing kepala.

Melihat kepada sistem suspensi depannya menggunakan fork terbalik (USD) baharu dengan tetapan redaman dan spring dioptimumkan.

Gaya suspensi depan juga lebih sporty dengan menambah baik rigid fork dan pada masa sama mengekalkan keselesaan tunggangan manakala suspensi belakang jenis monoshock.

Sistem brek motosikal ini menggunakan cakera tunggal hidraulik dengan kaliper brek dwi-piston apung di depan dan cakera tunggal hidraulik dengan piston tunggal di belakang. Saiz tayar pula bersaiz 110/70-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang)

Harga YZF-R25 (2021) kekal sama seperti model terdahulu, iaitu RM19,998 dan tidak termasuk cukai jalan serta insurans. Setiap pembelian motosikal ini diberikan kunci cakera Yamaha bernilai RM100 secara percuma.

Tunggu apa lagi, anda peminat tegar Yamaha, boleh datang ke bilik pameran dan jualan Yamaha di seluruh negara.