Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah mengambil inisiatif terkini memperkenalkan satu perkhidmatan dengan inovasi baharu iaitu Kaunter Zakat Digital (KZD) dalam usaha meningkatkan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan.
Negara telah di landa wabak Covid-19. Penjarakan fizikal dan tidak digalakkan keluar rumah adalah ‘vaksin’ terbaik buat masa ini bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Oleh itu, KZD diwujudkan bagi memudahkan pembayar dan pegawai kaunter PPZ-MAIWP untuk berinteraksi secara dua hala dalam platform digital.
Berbeza dengan pembayaran melalui portal yang hanya mempunyai komunikasi sehala, Kaunter Zakat Digital bersifat lebih interaktif. Pegawai kaunter PPZ-MAIWP akan berhubung terus dengan pembayar dan membantu menyelesaikan urusan berkaitan zakat, taksiran atau proses bayaran.
Pembayar boleh membuat pilihan untuk berurusan melalui 10 kaunter PPZ-MAIWP yang ditetapkan dan akan dihubungi semula dalam tempoh 24 jam. Melalui perkhidmatan ini, pembayar akan diselia oleh pegawai zakat PPZ-MAIWP sehingga selesai proses bayaran zakat.
Cara untuk mendapatkan perkhidmatan Kaunter Zakat Digital (KZD):
· Imbas Kod QR yang boleh didapati di masjid-masjid dan tempat awam.
Klik di sini untuk Kod QR
· Atau klik link di bawah
https://sites.google.com/
Hubungi talian 1-300-88-5757
· Pembayar hanya perlu memilih pegawai zakat untuk berurusan dan segala urusan seperti pertanyaan, pengiraan, dan pembayaran diselesaikan langsung di dalam talian.
· Pegawai zakat akan menghubungi pembayar melalui nombor telefon yang telah didaftarkan oleh PPZ-MAIWP.
· Bayaran zakat boleh dibuat melalui kemudahan FPX, Debit Kad, dan Kad Kredit Perbankan Islam.
· Resit zakat akan dihantar melalui email setelah bayaran berjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, dalam pasca penularan wabak Covid-19, segala urusan perlu dilaksanakan dengan penekanan kepada soal pendigitalan sebagai langkah adaptasi kepada norma baharu pada masa depan.
Pembayar zakat kini boleh mendapatkan perkhidmatan pembayaran zakat dari rumah pada bila-bila masa. Ini sekali gus membolehkan perkhidmatan pembayaran zakat menjadi lebih efektif, pantas dan efisien.
“PPZ-MAIWP perlu sentiasa inovatif untuk berhadapan dengan kehidupan norma baharu yang jauh lebih mencabar bagi memastikan urusan berzakat lebih mudah dilaksanakan. Semoga dengan adanya saluran bayaran yang pelbagai ini, ia tidak lagi menjadi alasan masyarakat Islam untuk tidak berzakat.”
Di kesempatan ini, PPZ-MAIWP menyeru kepada semua masyarakat Islam untuk segera menunaikan zakat agar dapat membantu lebih ramai asnaf yang semakin ramai kini.




































