Perigi Tujuh Serendah merupakan antara 11 butiran di daerah Hulu Selangor / Negeri Selangor yang berada dalam Senarai Inventori Jabatan Warisan Negara (JWN) di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] bagi tujuan penyelidikan dan kajian lanjut sebelum diwartakan.

Sekiranya memenuhi kriteria, tapak ini boleh dicadang untuk diangkat statusnya menjadi Warisan Kebangsaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata seperti mana juga kerjasama yang telah dijalinkan dengan semua pihak terlibat di seluruh negara, MOTAC akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di kawasan Hulu Selangor bagi memastikan tempat-tempat menarik di kawasan tersebut diketengahkan sebagai produk pelancongan negara.

Pewartaan ini boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan, selain untuk memulihara, memelihara dan melindungi khazanah warisan yang terdapat pada tapak Perigi Tujuh tersebut.

Nancy berkata demikian dalam Siri Jelajah Semarak Pelancongan Domestik di Hulu Selangor bagi meninjau keadaan kemudahan pelancongan di situ.

Turut serta dalam misi tersebut Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Dr Noor Zari Hamat dan pengurusan tertinggi Kementerian MOTAC.

Dato’ Sri Hajah Nancy sebelum itu diberi taklimat oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui dan Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli ,Hee Loy Sian.

Meskipun Perigi Tujuh Serendah adalah di bawah seliaan Jabatan Pengairan Saliran Daerah Hulu Selangor yang bertanggungjawab dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di persekitaran perigi tujuh tersebut, MOTAC katanya dari masa ke semasa akan sentiasa berbincang bagi tujuan penambahbaikan yang boleh dilakukan di kawasan ini.