Satu ketika dahulu pada 2016, penulis pernah diberikan peluang menguji jam pintar dari Samsung menerusi model Samsung Gear S3 Classic yang beratnya 57 gram dengan skrin bersaiz 1.3 inci.

Jam itu yang kini menjadi milik sepenuhnya boleh dianggap jam pintar yang mempunyai pelbagai ciri kelebihan termasuk menjawab panggilan telefon, menjawab mesej, membaca emel hingga kepada info selepas melakukan senaman.

Sehingga sekarang, jam pintar Gear S3 itu masih lagi berfungsi dengan baik meskipun sudah berusia empat tahun cuma berasa sedikit berat disebabkan rekaan badannya yang diperbuat daripada keluli tahan karat manakala skrin adalah jenis Corning Gorilla Glass SR+.

Namun masa bersilih ganti, maka lahirlah generasi terkini Samsung Galaxy Watch3 yang ditambah baik dengan beratnya adalah 15 peratus lebih ringan daripada model terdahulu dan kembali semula menggunakan bezel.

Prebiu.com yang diberi kesempatan menguji model 45mm yang sesuai untuk golongan lelaki kerana saiz tali jamnya sedikit besar manakala saiz skrinnya 1.4 inci dengan bateri sebesar 340mAh.

Sebenarnya terdapat dua jenis pilihan saiz untuk Samsung Galaxy Watch3 ini iaitu 41mm yang sedikit kecil sesuai untuk golongan wanita dengan warna lebih lembut iaitu Mystic Bronze atau Silver.

Jadi jika anda lelaki yang memiliki saiz tangan yang kecil boleh memilih jam bersaiz 41mm ini. Untuk model 41mm, skrinnya bersaiz 1.2-inci dengan bateri sebesar 247mAh manakala, model lebih besar 45mm pula bersaiz 1.4-inci bersama bateri sebesar 340mAh.

Gaya Luaran

Permukaan jam ini menggunakan skrin berbentuk bulat dengan penggunaan panel Super AMOLED dan paparannya mempunyai resolusi 360 x 360 piksel serta menggunakan Corning Gorilla Glass DX.

Sebagaimana ciri jam pintar terdahulu, peranti ini juga hadir dengan ciri skrin sentuh secara terbina yang membolehkan pengguna menyentuh skrin untuk melakukan navigasi aplikasi seperti menatalnya ke atas, bawah, kanan dan juga kiri.

Jika tidak mahu menyentuh skrin, pusing sahaja bezel atau tekan dua butang fizikal pada sebelah kanan jam pintar ini yang bertindak sebagai butang navigasi back dan home.

Untuk kelihatan lebih eksklusif, butang bahagian atas tertera tulisan Galaxy Watch pada permukaannya namun perlu dilihat secara teliti kerana terlalu kecil dan kadang kala tidak perasanpun.

Menekan dengan sedikit lama pada butang kedua ini akan membolehkan sistem pembantu maya dengan kecerdasan buatan Bixby diaktifkan. Kelebihan pada butang fizikal ini ialah anda tidak perlu guna skrin sentuh sekiranya tangan anda sedang berpeluh atau basah.

Melihat kepada rekaan badan jam tangan pintar ini diperbuat daripada bahan keluli tahan karat dengan kualiti binaannya juga kukuh dan ringan dalam masa yang sama.

Memang diakui, rekaan serba hitam kelihatan lebih cantik dan kemas malah Samsung dalam laman web mengatakan, jam tangan pintar ini adalah 14% lebih nipis dan 15% lebih ringan jika nak dibandingkan dengan pendahulunya.

Jika sudah namanya jam tangan tentu sekali arah mata akan melihat kepada tali jamnya yang menggunakan bahan berasaskan kulit berwarna hitam dengan jahitan benang putih pada sisi tali dan amat selesa dipakai walaupun pada jangka masa yang panjang.

Apa yang menarik pada model terkini ini ialah selain mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP68, peranti ini juga mempunyai sokongan ketahanan dalam air sehingga 50 meter atau 5ATM yang mana ia boleh dibawa berenang.

Sebenarnya jam pintar ini sesuai dipadankan dengan pelbagai gaya sama ada untuk kegunaan harian ke pejabat atau bersantai dihujung minggu. Apa yang menarik dan menjadi kelebihan apabila jam ini dipakai ialah muka jamnya boleh diubah setiap masa mengikut selera.

Menerusi aplikasi Galaxy Wearable, anda boleh memilih apa saja muka jam yang dikehendaki malah ia boleh digayakan sendiri dengan pakaian yang anda pakai. Ambil sahaja gambar corak pakaian menggunakan telefon pintar dan kemudian pindahkan ke jam pintar dan dalam beberapa saat muka jam terus berubah mengikut corak.

Secara spesifik, boleh dikatakan paparan pada muka jam tangan pintar ini dilihat terang serta mudah untuk dibaca dalam semua keadaan. Warnanya juga nampak menakjubkan dan boleh diubah mengikut mod sama ada mod malam atau teater.

Ketika diuji ketika menunggang basikal, paparan pada skrin jam ini merekodkan jarak perjalanan, tempoh anda menunggang, jumlah kalori yang dibakar malah turut memaparkan peta perjalanan anda dengan lengkap. Hebat Bukan!

Ciri Sistem

Samsung Galaxy Watch3 menggunakan cip pemproses Exynos 9110 pada kelajuan 1.15GHz. Ini adalah cip yang sama boleh kita temui pada Galaxy Watch Active2 dan juga Gear Sport sebelum ini.

Bagaimanapun, ia dilihat menerima penambahbaikan daripada segi sokongan memorinya. Di mana, RAM yang digunakan untuk kali ini adalah sebesar 1GB manakala, storan dalamannya pula sebesar 8GB.

Jam tangan pintar ini menggunakan sistem operasi tersendiri daripada Samsung iaitu Tizen OS 5.5. Melaluinya juga, anda boleh memasang sejumlah aplikasi dan muka jam tambahan yang boleh didapati menerusi aplikasi Galaxy Store.

Selain ciri boleh membaca dan membalas notifikasi menerusi jam pintarnya, ia juga mempunyai fungsi lain seperti kawalan pemain muzik, penjejak kesihatan, pembesar suara dan mikrofon serta boleh berinteraksi dengan Bixby.

Apa yang boleh dipuji ialah kualiti panggilannya jelas dan amat sesuai digunakan jika anda sedang memandu, bersenam atau ‘malas’ nak mengangkat telefon. Ini kerana anda boleh menetapkan nombor telefon penting dalam peranti ini dan dengan satu tekan jam ini akan terus menghubungi nombor yang dikehendaki.

Kelebihan 

Sebagai sebuah jam tangan yang lengkap dengan segala fungsi untuk memantau tahap kecergasan jam ini juga berupaya mengesan data kesihatan termasuklah memantau tekanan darah, denyutan jantung, ciri pengesanan kualiti tidur dan sebagainya.

Jika anda seorang yang mementingkan kesihatan dan sering melakukan senaman, anda boleh melakukan tetapan aktiviti berlari, berjalan, mendaki, berbasikal dan banyak lagi dengan semua data akan dipaparkan dalam info yang lengkap.

Ciri paling terbaharu pada jam tangan pintar ini ialah pengesanan jatuh bagi memberikan bantuan kecemasan automatik apabila pemakainya tiba-tiba terjatuh. Sistem SOS pada jam itu akan terus menghantar mesej kepada individu yang didaftarkan di dalam senarai nombor kecemasan yang dimasukkan menerusi aplikasi Galaxy Wearable.

Sebagai tambahan kepada golongan ‘hawa’ ialah ciri pemantauan kiraan kitaran haid yang boleh membantu merekodkan secara lengkap setiap bulan.

Jika dahulu alat pengecas jam ini kelihatan agak besar namun menerusi Watch3, ia lebih kecil menggunakan pengecas magnetik yang melekat ketika proses pengecasan dilakukan.

Dengan penggunaan penuh dan berterusan, peranti ini mampu bertahan lebih sehari dan tempoh pengecasan semula hanya mengambil masa kira-kira dua jam. Jam pintar ini juga boleh dicas menggunakan telefon pintar yang dilengkapi ciri ‘Wireless PowerShare’ sekali gus tidak perlu bimbang tertinggal alat pengecas berkenaan.

Dengan adanya sokongan fungsi bluetooth, anda sebenarnya boleh menyambungkan jam pintar ini secara terus ke peranti pintar tidak kira sama ada menyambungnya ke peranti Android mahupun iPhone.

Ia boleh digunakan pada peranti pintar yang menggunakan sistem operasi Android 5.0 dan iOS 9 ke atas.

Kesimpulannya

Samsung Galaxy Watch3 adalah jam pintar yang dikemas kini dengan beberapa ciri baharu meliputi aspek luaran dan dalamannya daripada model terdahulu.

Rekaannya kali ini kelihatan kemas dan eksklusif pastinya memikat hati sesiapa sahaja yang memakainya. Anda akan kelihatan ‘bergaya’ dan ‘trendy’ kerana tidak semua orang gemar memakai jam pintar sedangkan ciri sebenarnya banyak membantu kehidupan seharian.

Ciri yang paling digemari ialah paparan wajah muka jam yang lebih bergaya dan moden manakala ciri pengesanan jatuh pula akan memberikan bantuan kecemasan automatik apabila pemakainya tiba-tiba terjatuh.

Samsung Galaxy Watch 3 boleh didapati pada harga RM1,699 (model 41mm) dan RM1,799 (model 45mm).