Pengenalan beberapa siri model telefon pintar Samsung S20 pada tahun ini dianggap luar biasa kerana syarikat pengeluar dari Korea Selatan itu seakan begitu agresif dan positif dengan senario ekonomi semasa yang dianggap suram ketika ini akibat dunia dilanda COVID-19.

Selepas kejayaan memperkenalkan siri model Note20, Samsung kali ini lebih berani mempertaruhkan Samsung Galaxy S20 FE (Fan Edition) peranti mercu paling mampu milik pada harga RM3,399 dan buat kali pertama dilengkapi cip Snapdragon 865.

Paling mengujakan apabila enam pilihan warna ditawarkan iaitu Cloud Orange, Cloud Lavender, Cloud Mint, Cloud Navy, Cloud White, dan Cloud Red.

Maka tidak hairanlah Samsung begitu berani menggunakan Kumpulan K-pop BTS sebagai duta peranti ini dengan menggunakan latar belakang lagu popular ‘Dynamite’ dalam iklan telefon pintar berkenaan.

Jadi, apa yang ‘best sangat’ dengan peranti ini berbanding model siri S20 sebelum ini. Baca lebih lanjut reviu dibawah ini.

Rekaan Luaran

Telefon ini dilengkapi skrin 6.5″ SAMOLED FHD+ 120Hz, dipadankan dengan memori sehingga 8GB, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4500 mAh serta sokongan pengecasan pantas 25W.

Peranti ini juga boleh dicas secara nirwayar dan bagi yang memerlukan storan lebih besar, kad mikro SD sehingga 1TB boleh digunakan.

Bagaimanapun, apa yang menghairankan apabila set fon kepala tidak lagi disertakan dan pengecas yang diberikan pula sekadar 15W. Untuk menikmati pengecasan paling pantas pengguna perlu membeli pengecas 25W secara berasingan.

Jika dilihat daripada segi saiz, Samsung S20 FE boleh dianggap peranti yang terletak di antara S20 dan S20+. Skrin sebesar 6.5″ hanya menyokong sehingga resolusi FHD+ dengan kepadatan pixel 407 ppi dan kadar segar semula 120Hz.

Tiada perbezaan ketara daripada segi saiz bezel atas dan bawah jika dibandingkan antara model S20 dan S20 FE cuma beza S20 FE kelihatan lebih tirus berbanding S20 manakala skrinnya adalah rata dan tiada lengkungan sepertimana model S20.

Kerangka peranti ini pula diperbuat daripada logam dengan kemasan yang premium dan apabila mengenggamnya terasa kemas dan mudah dikendalikan. Badan bahagian belakangnya diperbuat daripada polikarbonat yang kurang meninggalkan kesan cap jari apabila dipegang.

Ciri yang boleh diberikan pujian ialah bonggol kamera S20 FE tidak terlalu ketara tetapi  saiznya agak besar berbanding saiz kamera pada Samsung S20. Namun ia tidak sebesar saiz kamera pada Galaxy Note20 Ultra 5G yang dilengkapi sensor gergasi dan sistem zum yang jauh.

Kamera

Kamera utama menggunakan sensor 12+12+8 megapiksel. Lensa sudut lebar digabungkan dengan lensa ultra sudut lebar dan lensa telefoto.

Lensa telefoto dipadankan dengan sensor 8 megapiksel dan menyokong zum optikal sehingga 3X serta zum digital pula sehingga 30X manakala kamera swafoto pula adalah sebesar 32 megapixel.

Apa yang menghairankan ialah spesifikasi kamera pada peranti ini adalah yang paling rendah di antara siri S20 tahun ini. Tentunya ada sebab kukuh Samsung menggunakan piksel kamera yang lebih rendah untuk peranti ini.

Resolusi rakaman video maksimum juga dihadkan kepada 4K 60p sahaja dan bukannya 8K 24p.

Ciri mod kamera masih dikekalkan seperti sokongan mod malam, panorama, Single Take, Live Photo, Pro, Pro Video, Hyperlapse dan Slow Motion. Sistem kecerdasan buatan Scene Optimiser dan Shot Suggestions juga dikekalkan bagi mereka yang lebih gemar mengguna mod automatik.

Meskipun menggunakan sensor yang kecil, kualiti gambar yang dihasilkan adalah baik terutamanya gambar yang memiliki pencahayaan yang baik.

Gambar yang terhasil kelihatan tajam dan warna pula kelihatan jelas manakala Sistem Scene Optimser memastikan gambar HDR yang diambil mengurangkan silau dan menerangkan bahagian yang gelap.

Gambar menggunakan mod malam adalah memuaskan namun hasil gambar menggunakan zum sehingga lebih 10X mulai pecah.

Perisian

Sistem operasi peranti ini terasa lebih lancar dan pantas kerana menggunakan Snapdragon 865 namun sukar membezakan dengan peranti yang dilengkapi Exynos 990. Pengalaman penggunaan sistem operasinya amat memuaskan.

Peranti ini juga dilengkapi sistem operasi Android 10 dengan One UI 2.5 digunakan. Ini ialah versi pelancar terkini dari Samsung dengan pelbagai ciri menarik seperti DeX nirwayar, sokongan Your Phone yang lebih mendalam, Nearby Share dan integrasi lebih menyeluruh dengan pelbagai perkhidmatan Microsoft.

Sistem pengimbas cap jari optikal yang terbina dalam skrin digunakan bersama dengan kemampuan kalis air IP68.

Selain itu sistem audio Dolby Atmos turut dibekalkan bagi memberikan pengalaman audio yang memuaskan. Hasilnya ialah audio yang terasa lebih hidup dan dinamik.

Sebagaimana peranti mercu Samsung yang lain, Samsung S20 FE juga dilengkapi sistem imbasan cap jari jenis optikal, sistem imbasan wajah terbina dan corak paten bagi tujuan akses keselamatan kepada peranti ni.

Kemampuan bateri

Berbeza dengan model S20, peranti S20 FE memiliki kuasa bateri 4500 mAh yang mampu memberikan tempoh operasi sehingga 19 jam dalam penggunaan sederhana dan menggunakan WiFi di rumah.

Peranti ini menggunakan pengecas 15W yang disertakan walaupun S20 FE menyokong pengecasan 25W.

Kesimpulannya

Samsung Galaxy S20 Fan Edition ialah peranti yang tidak mengecewakan kerana hampir semua ciri menarik yang ada pada Note20 Ultra diberikan dalam satu pakej.

Meskipun spesifikasi kamera dikurangkan tetapi kemampuannya masih baik dan ciri kalis air IP68 memang membantu. Selain itu, ciri sokongan dwi-sim, Samsung Pay, NFC, sokongan kad mikro sehingga 1TB dan pengecasan nirwayar adalah satu kelebihan.

Sekiranya anda seorang peminat Kumpulan BTS, peranti ini boleh menjadi pilihan kerana ia cukup sinonim ketika ini dan Samsung dilihat amat berharap penuh dengan menggunakan populariti BTS untuk melariskan produknya.

Meskipun di luar sana ada peranti lain (bukan jenama Samsung) yang dilengkapi Snapdragon 865 dan ditawarkan pada harga lebih mampu milik, seperti kita sedia maklum jenama Samsung dilihat lebih menyerlah dan menyakinkan.

Bagaimanapun, terpulang kepada anda yang memiliki kuasa beli sama ada mahu bergaya dengan jenama atau lebih percaya dengan keupayaan yang dimiliki oleh sesuatu jenama yang sudah lama bertapak kukuh.