UMW Holdings Berhad (UMW) mengumumkan pelantikan Dato’ Ahmad Fuaad Kenali sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) yang baharu berkuatkuasa pada 1 November 2020.

Beliau akan mengambil alih tugas dan peranan dari Allahyarham Badrul Feisal Abdul Rahim yang telah meninggal dunia pada 31 Mei 2020.

Fuaad memulakan kerjayanya bersama Arthur Andersen & Co pada tahun 1994. Pada tahun 2001, beliau telah menggalas jawatan baru sebagai Pengarah Eksekutif Kewangan di Petaling Garden Berhad.

Pada tahun 2008, beliau memegang jawatan sebagai rakan niaga / Pengarah Eksekutif di Ernst & Young, Kuala Lumpur dan berkhidmat dengan firma itu sehingga tahun 2010 sebelum beralih sebagai Ketua Pegawai Kewangan di Astro Malaysia Holdings Berhad daripada  Ogos 2010 sehingga Julai 2013.

Pada bulan Ogos 2013, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan di DRB-HICOM Berhad dan seterusnya menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Operasi – Kewangan & Korporat di syarikat tersebut sehingga Mac 2016.

Beliau kemudiannya beralih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif bagi Proton Holdings Berhad bermula dari 1 April 2016 hingga 30 September 2017.

Pada 1 Oktober 2017, Dato’ Fuaad telah menyertai Malakoff Corporation Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

“Kami sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan Dato’ Fuaad ke UMW, sebuah konglomerat terkemuka di Malaysia dengan sejarah yang merangkumi lebih dari satu abad. Pengalaman  profesional dan korporat beliau akan dapat memberikan sumbangan yang besar kepada Kumpulan.

@Saya dan Lembaga Pengarah teruja untuk bekerjasama dengannya. Kami yakin beliau akan dapat menggerakkan UMW ke tahap yang lebih tinggi – sementara terus memberikan nilai yang lebih baik kepada para pemegang saham kami,” kata Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad.

Dengan pelantikan Fuaad sebagai PGCEO yang baharu, Azmin Che Yusoff akan berhenti menjadi Pemangku PGCEO UMW berkuatkuasa 1 November 2020 untuk kembali memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi – Korporat.