Bila sebut nama Stealth teringat kepada nama sebuah jet tempur tercanggih buatan Amerika Syarikat yang mampu terbang tanpa boleh dikesan radar.

Bagaimanapun, Stealth yang dimaksudkan di sini, ialah model pikap Isuzu D-Max edisi terhad terbaru yang tampil dengan beberapa ciri terbaharu dan yang pertama di Malaysia.

Isuzu Malaysia Sdn Bhd (Isuzu Malaysia) yang melancarkan model itu hari ini, hanya menawarkan sebanyak 180 unit sahaja dengan dua warna pilihan iaitu Stallion Black Metallic atau Silky White Pearl.

Jadi, apa tunggu lagi bagi mereka yang menggemari kenderaan lasak jenis pikap kerana mungkin nampak ‘macho’ tetapi hanya mahu memandunya dilaluan bandar, model ini boleh menjadi pilihan kerana banyak ciri-ciri menarik ditawarkan.

Ciri paling eksklusif dan pertama bagi sebuah pikap ialah pemijak sisinya boleh alih yang mana ketika mana-mana pintu dibuka, pemijak berkenaan akan terbuka secara automatik sekali gus memudahkan penumpang untuk masuk atau keluar dari kenderaan itu.

Bagaimanapun, apabila pintu ditutup pemijak itu akan terlipat semula dan tersimpan kemas dibawah badan trak menjadikan profil sisinya lebih tinggi dan kemas.

Tambah menarik apabila cahaya automatik akan tersuluh dibawah pemijak berkenaan menyebabkan Isuzu D-Max Stealth kelihatan eksklusif dan premium. Ciri ini juga mengingatkan penulis kepada model SUV mewah keluaran GMC buatan Amerika Syarikat.

Meskipun model ini lebih kepada rekaan kosmetik dengan sebahagian daripada aksesori yang dipasang diimport dari Thailand, trak pikap ini cukup bergaya sama ada dari luaran atau dalaman.

Ketua Pegawai Operasi, Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki berkata, Stealth hadir dengan sentuhan rekaan eksklusif yang menarik perhatian dan berbeza daripada kebiasaan D-Max sedia ada.

“Pelanggan yang mencari sebuah trak pikap tahan lasak dan boleh diharap dalam pasaran ketika ini akan menemukan pakej penampilan dan prestasi yang mengujakan pada Isuzu D-Max Stealth.

“Luarannya yang bergaya turut dipadankan dengan rekaan dalaman yang menyerlah yang menjadi pernyataannya yang tersendiri, memberikan kelainan ketika di jalanan bagi pemiliknya,” katanya.

Trak pikap ini masih menggunakan asas yang sama dengan Isuzu D-Max 4×4 Premium automatik, Stealth dilengkapi enjin 1.9 liter Ddi Blue Power yang berkuasa.

Rekaan Luaran

Dibangunkan daripada tema rekaan pikap urban premium, Isuzu D-Max Stealth mendapatkan imejnya yang tersendiri melalui penggunaan komponen dan bahagian hitam bagi menggantikan kemasan krom.

Ini termasuk pada gril depan, lampu utama, lampu kabus dan kemasan bampar, landasan bumbung dan bampar belakang.

Grilnya menampilkan garis kemasan warna perak yang halus, menghiasi bahagian depan dan sepadan dengan lanjutan ke bahagian spoiler depan, memberikan wajah depan yang sporty bagi D-Max Stealth.

Untuk menambahkan lagi eksklusiviti edisi ini, model berkenaan menerima rim 18-inci aloi dengan lencana nama Stealth, dengan pada pintu dan juga bahagian belakang turut menempatkan hias nama yang sama untuk membezakannya daripada Isuzu D-Max lain.

Turut tampil berbeza ialah padanan sticker atau jalur yang menghiasai badan trak pikap ini yang bukan sahaja dapat dirasakan timbul malah memberi kesan reflektor pada waktu malam.

Selain itu, pintu ruang barangan di belakang juga datang dengan ciri bukaan ringan menggunakan hidrolik untuk memudahkan penggunaan.

Ruang Dalaman

Kelainan penting pada Di dalam, ciri pertama yang akan menarik perhatian ialah tempat duduk dengan tona warna merah dan hitam. Menggabungkan material kulit premium dan juga fabrik, kerusi berkenaan turut diberikan jahitan logo Stealth pada bahagian belakangnya sebagai satu lagi sentuhan eksklusif.

Suasana dalam kabin diserikan lagi dengan penggunaan pelapik bumbung warna kelabu, sementara kemasan permukaan lainnya dalam warna hitam berkilat agar selari dengan tema keseluruhan.

Tombol kawalan pendingin hawa pula diberikan penyudah warna krom.

Sebagai sebuah trak pikap premium urban, Isuzu D-Max Stealth turut dilengkapi dengan perakam video digital (DVR) depan dan belakang, menjadi yang pertama dalam kelasnya yang di datangkan dengan ciri ini.

Ia mampu merakam dalam format definisi tinggi (HD) sepenuhnya bagi kedua-dua kamera, baik di waktu siang atau malam. Sistem berkenaan akan merakam secara automatik ke dalam kad SD 32GB sebaik sahaja enjin dihidupkan.

Dengan pengesan pergerakan, ia boleh juga merakam ketika kenderaan diparkir sekiranya ada pergerakan dalam sudut 140-darjah, atau ketika ia mengesan impak pada kenderaan.

Rakaman berkenaan boleh dimainkan semula pada telefon pemilik melalui sambungan WiFi, dengan aplikasi IROAD yang boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play.

Ciri lain yang akan memudahkan lagi pengguna yang juga pertama kali ditawarkan dalam kelasnya ialah Peninjau Sekeliling (AVM) dengan Panduan Imej 3D. Menggunakan empat kamera di sekeliling kenderaan, sistem membantu pemandu ketika ingin membelokkan kenderaan, kerana ia dengan automatik akan memberikan pilihan paparan dari atas atau 3D sekiranya gear undur dipilih.

Pemandu juga boleh mengaktifkan AVM secara manual dengan menekan butang pada papan pemuka untuk memeriksa persekitaran.

Tambahan lain ialah sensor parkir di depan yang membantu pemandu sekiranya ingin meletakkan kenderaan di tempat sempit. Sensor berkenaan akan diaktifkan secara automatik sebaik sahaja kenderaan mula bergerak dan akan dimatikan pada kelajuan melebihi 25 km/j.

Ia kemudiannya akan diaktifkan semula ketika kenderaan mencapai kelajuan 20 km/j. Pemandu bagaimanapun mempunyai pilihan untuk mematikan sistem ini secara manual.

Isuzu D-Max Stealth didatangkan dengan jaminan istimewa tanpa had selama tujuh-tahun dan boleh didapati melalui semua rangkaian pengedar sah Isuzu seluruh negara bermula hari ini dengan harga bermula RM125,799.20 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Semenanjung Malaysia, manakala RM128,176.20 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Sabah dan RM128,220.30 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Sarawak.

Harga Isuzu D-Max Stealth

  • RM125,799.20 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Semenanjung Malaysia
  • RM128,176.20 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Sabah
  • RM128,220.30 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Sarawak

Pelanggan-pelanggan terawal yang membeli Isuzu D-Max Stealth (pendaftaran persendirian sahaja) yang mendaftar kenderaan mereka sepanjang Ogos akan menerima sport roll bar atau memilih untuk membeli penutup T-Lid (bernilai RM5,500) hanya pada harga RM2,000 sementara stok masih ada.

Untuk keterangan lanjut dan tawaran hebat lainnya, berkunjunglah ke pengedar terdekat anda atau layari www.isuzu.net.my/pickup/ atau laman Facebook rasmi https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia.