Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Terengganu, Dato Rosle Chik di pejabatnya, baru-baru ini.
Pertemuan itu banyak membincangkan isu semasa berkaitan era selepas wabak pandemik COVID-19 dan masalah global.
Beliau berkata, turut disentuh mengenai kes jenayah khususnya fitnah siber dan jenayah rentas sempadan serta masalah PATI.
Menurut Dato Rosle Chik, setakat ini PDRM Negeri Terengganu dapat membendung perkara itu hasil kerjasama semua anggota PDRM malah Kerajaan Negeri Terengganu turut membantu selepas COVID-19 ini.
Katanya, Terengganu menjadi tumpuan pelancong tempatan kerana Terengganu mempunyai pulau-pulau yang tercantik di Malaysia seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol Pulau Kapas, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah.
“Justeru, aset pemodenan Polis Marin amat penting bagi tujuan rondaan bagi menjaga keselamatan para pelancong tempatan kini dan pelancong Antarabangsa pada masa akan datang apabila pintu sempadan di buka,” kata Dato Rosle.
Sementara itu Mustapha berkata, keperluan membeli aset-aset moden bagi PDRM seperti Bot polis marin, alatan moden bagi tugas rondaan PGA di sempadan dan kereta peronda baru atau pesawat udara bagi membanteras jenayah, penyeludupan dan ancaman kemasukan PATi berterusan.
“Walaupun keadaan ekonomi negara mengalami sedikit penurunan tetapi keperluan aset ini bagi menjamin keselamatan dipintu sempadan dan membanteras jenayah di dalam negara perlu diberi keutamaan.
“Ini bagi menjamin para pelancong tempatan dan asing atau para pelabur yang datang ke negara kita mereka melihat daripada segi kestabilan dan keamanan negara sebelum melabur,” katanya.
Menurut laporan antarabangsa, pasukan keselamatan negara khususnya PDRM adalah pasukan yang terbaik di rantau ini dan adalah sewajarnya pembelian aset-aset baharu dan moden bagi tujuan keselamatan kita bersama.