Syarikat penerbangan, FlyFirefly Sdn Bhd (Firefly) hari ini melancarkan pakej ‘Jom Cuti Bersama Firefly’ bagi membantu menggiatkan promosi kempen Cuti-Cuti Malaysia sekali gus menyokong pelan strategik Tourism Malaysia untuk merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.
Firefly menawarkan penginapan satu malam percuma bagi tempahan minimum dua malam untuk pembelian tiket penerbangan serta penginapan dengan menggunakan kod promosi “JOMCUTIKBR”.
Tawaran pakej tersebut boleh ditempah mulai 20 hingga 26 Julai di laman sesawang fireflyz.com.my untuk tarikh perjalanan melancong bermula 27 Julai sehingga 31 Disember ini.
Dalam tempoh yang sama, kempen ‘Super Fly’ oleh Firefly turut menawarkan diskaun harga tiket penerbangan antara 10 ke 30 peratus bagi setiap pembelian dua tiket ke atas.
Pelancaran pakej tersebut diadakan pada majlis makan malam Program Ekspresi Media Kelantan 2020 anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan di Hotel Perdana Kota Bharu yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Mejar (B) Dato’ Haji Md Anizam Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan.
Hadir sama Philip See, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly dan Iskandar Mirza Mohd Yusof Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Tourism Malaysia mewakili Datuk Musa Yusof, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.
Program Ekspresi Media Kelantan 2020 ialah program berkonsepkan lawatan suai kenal secara interaktif untuk mengetengahkan produk berasaskan pelancongan pengalaman atau ‘experiential tourism’ yang bukan sahaja melibatkan destinasi menarik, malah turut mendekati budaya, warisan, makanan serta pelancongan berasaskan komuniti.
Turut dilancarkan pada majlis makan malam tersebut ialah pakej promosi Kelantan tiga hari dua malam oleh kerajaan negeri menerusi dua agensi pelancongan iaitu Jasa Teratai Holidays Sdn Bhd dan Sampugita Holidays Sdn Bhd yang berkonsepkan warisan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan fotografi.
Pembelian salah satu daripada pakej berkenaan layak untuk mendapatkan satu pakej percuma iaitu lawatan di sekitar bandar Kota Bharu beserta ‘goodie bags’.
Iskandar Mirza berkata, Tourism Malaysia mengalu-alukan sokongan Firefly untuk turut sama membantu kerajaan dalam memulihkan kembali industri pelancongan domestik yang terjejas akibat pandemik COVID-19 selain mempromosikan pakej ke negeri Kelantan.
“Negeri Kelantan sememangnya bukan sahaja memiliki destinasi ekopelancongan menarik malah kaya dengan warisan seni, budaya dan gastronomi, justeru seiring dengan fokus kerajaan negeri untuk menarik kunjungan pelancong melalui segmen makanan, keluarga dan festival,” katanya.
Sementara itu, Philip See berkata, Firefly memiliki rangkaian yang meluas bagi perjalanan antara Kota Bharu dengan Subang, Pulau Pinang dan terbaru Johor Bahru serta mempunyai penerbangan tambahan pada 29 dan 30 Julai ini bagi memenuhi peningkatan permintaan sempena Hari Raya Aidiladha.
“Penerbangan dalam norma baharu menjadi kebimbangan oleh orang ramai. Oleh itu, saya ingin memberikan kepastian bahawa segala langkah berjaga-jaga, kesihatan dan keselamatan telah diambil untuk kepentingan para penumpang,” katanya.