DTC Motors Sdn Bhd (DTC Motors) pengedar kenderaan import mewah baharu dan terpakai milik Bumiputera sepenuhnya menawarkan ruang dan tapak pameran syarikat itu kepada mana-mana pihak yang mahu menganjurkan aktiviti sama ada berbentuk permotoran atau bukan permotoran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Afendy Wahid berkata, syarikat itu yang baru berpindah ke lokasi baru enam bulan lalu, memiliki ruang yang lebih luas dan kawasan tempat letak kereta yang selesa.

Afendy Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motors

“Kita mengalu-alukan orang ramai yang mahu mencari lokasi atau tapak untuk menganjurkan apa jua jenis aktiviti seperti majlis pelancaran produk, majlis amal mahupun pelepasan konvoi kereta atau motosikal berkuasa tinggi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan konvoi kelab kereta Mercedes-Benz SL keluaran 1990 hingga 1995 di Kuala Lumpur, petang tadi.

DTC Motors bertindak sebagai penaja lokasi dan rakan penganjur kepada aktiviti amal yang julung-julung kali diadakan bagi menghargai petugas barisan hadapan negara.

Pada majlis itu menyaksikan lebih 20 buah kereta Mercedes-Benz yang dipandu pemilik sendiri bergerak dari DTC Motors di Jalan Ampang Hilir menyusuri beberapa lokasi tumpuan pelancong antaranya KLCC, Bukit Bintang, Menara Kuala Lumpur, Istana Negara dan Dataran Merdeka sebelum berakhir di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Kehadiran konvoi itu membawa satu matlamat yang cukup murni iaitu bagi mengumpul dana untuk petugas barisan hadapan, kakitangan perubatan dan sukarelawan, yang berkorban dalam memastikan kesejahteraan rakyat ketika berdepan wabak pandemik COVID-19.

Hasil daripada dana yang dikutip itu akan diserahkan kepada Tabung COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia.

Upacara ‘flag off’ atau pelepasan disempurnakan oleh ikon fesyen, Mohd Azwan Md Nor atau lebih dikenali Wak Doyok bersama pengurusan kanan DTC Motors.