Sebagai rakan strategik kepada komuniti agro, Agrobank mengorak selangkah ke hadapan lagi dengan menyediakan pembiayaan rumah mampu milik kepada komuniti nelayan di bawah Program Kediaman Mampu Milik-(PKMM-i) bagi Projek Penempatan Semula Nelayan (PPSN) di Bunut Rendang, Kuantan.

PPSN merupakan inisiatif bersama antara Kerajaan Negeri Pahang dan Lembaga Pembangunan Perikanan Malaysia (LKIM) di mana Agrobank diberi kepercayaan sebagai pembiaya utama bagi projek ini.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (ketiga dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penerima PPSN (kanan) di Majlis Penyerahan dan Serah Kunci PPSN di Bunut Rendang, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Ahmad Shahril Mohd Shariff (kedua dari kiri).

Kerjasama ini bertujuan untuk membantu komuniti nelayan di kawasan tersebut untuk memiliki rumah sendiri dan tempat tinggal yang lebih selesa. Ini juga merupakan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan kesejahteraan komuniti nelayan tempatan di Pahang secara keseluruhan.

Kerjasama ini turut membuktikan sokongan dan keyakinan sebuah institusi kewangan terhadap agenda perumahan nasional yang diusahakan oleh kerajaan negeri dan didokong oleh LKIM.

Ahmad Shahril Mohd Shariff, Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank berkata, “Kami di Agrobank sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dan LKIM sebagai pembiaya utama kepada projek ini.

Agrobank akan menyediakan pembiayaan dengan tawaran pembiayaan sehingga 105% untuk nelayan di daerah Bunut Rendang, agar mereka juga berupaya memiliki rumah sendiri.

Ini melibatkan pembiayaan sebanyak RM36,750 untuk satu unit rumah dan RM2,756,250 bagi jumlah keseluruhan pembiayaan melibatkan 75 unit rumah bagi projek ini.”

Beliau berkata, pembiayaan yang ditawarkan oleh Agrobank melalui program PKMM-i ini secara tidak langsung membuka peluang kepada nelayan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan untuk memiliki rumah sendiri.

“Penglibatan kami di dalam projek ini adalah sejajar dengan fokus kami di Agrobank iaitu untuk terus menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan dan terpinggir, sekaligus meningkatkan status sosio-ekonomi kelompok B40,” katanya.

Majlis penyerahan dan Serah Kunci Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PPSN) Bunut Rendang anjuran Kerajaan Negeri Pahang itu disempurnakan oleh  Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, baru-baru ini.

Simbolik penyerahan kunci rumah turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Abd Razak dan Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Ahmad Shahril Mohd Shariff.

Kawasan perumahan baharu ini turut dilengkapi kemudahan infrastruktur seperti surau, jeti penangkapan ikan, pencawang TNB, sistem rawatan air dan saliran, tangki air dan taman lanskap.