Anda ingin mengetahui sejarah pengeluaran motosikal Yamaha di Malaysia dan di peringkat antarabangsa selain melihat koleksi lama dan baru? Apa kata anda singgah sebentar di ibu pejabat Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) di Sungai Buloh.

HLYM membuka Yamaha Lifestyle Station atau Stesen Gaya Hidup Yamaha yang pertama seumpamanya di Malaysia, pada Oktober tahun lalu yang bukan sahaja mempamerkan koleksi motosikal Yamaha pertama di Malaysia malah model terkini turut dipamerkan.

Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke ruang pameran, anda akan dihidangkan dengan koleksi motosikal yang digunakan untuk perlumbaan yang tersusun kemas beserta dengan dekorasi yang menarik.

Pusat ini merupakan yang terbesar di Malaysia dan menempatkan muzium mini motosikal Yamaha yang pernah dipasarkan di negara ini selain pameran model terbaharu serta jentera perlumbaan.

Koleksi paling menarik ialah satu-satunya model Yamaha 125ZR Movistar edisi terhad yang hadir dengan nombor kerangka dan enjin bernombor 46 yang ditandatangani khas oleh Valentino Rossi, juara dunia 9 kali, Team Movistar Yamaha MotoGP disimpan kemas dalam peti khas di muzium mini ini.

Selain motosikal, turut dipamerkan jentera rekreasi ATV, enjin bot dan peralatan muzik. Untuk keselesaan, kafe Gen Blu juga disediakan dengan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa.

Prebiu.com yang berkesempatan singgah ketika menghantar motosikal Yamaha untuk dibaiki di pusat servis Yamaha cukup teruja melihat koleksi motosikal yang dipamerkan.

Sambil menunggu motosikal dibaiki, penulis sempat menikmati hidangan nasi lemak bersama teh tarik pada harga selepas diskaun RM4.25.

Pusat servis Yamaha ini menyediakan 15 tapak penyelenggaraan selain penyaman udara bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.

Ia turut menyediakan ruang menunggu yang selesa dengan soket pengecas USB, hab alat ganti dan minyak pelincir tulen.

Stesen Gaya Hidup Yamaha dibuka dari jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat.

Jika anda peminat tegar motosikal Yamaha boleh datang ke sini untuk mempelajari sejarah dan melihat semua koleksi yang dipamerkan. Jangan pulang tanpa bergambar dengan semua motosikal ini yang mungkin sudah tidak ada di jalan raya Malaysia lagi.

  • Foto dirakam menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy S20