Alhamdullillah, tepat pada jam 2.06 petang, 11 Jun 2020, Saluran YouTube Les’ Copaque Production telah berjaya mencecah 10 juta pelanggan.

Ini suatu pencapaian yang luar biasa dan amat membanggakan kerana ia merupakan Saluran YouTube yang pertama dari Malaysia mencecah 10 juta pelanggan.

Dengan pencapaian ini Les’ Copaque Production layak menerima anugerah “Diamond Play Button” dari YouTube.

Anugerah ini hanya diberikan kepada saluran yang berjaya mencecah 10 juta pelanggan. Les’ Copaque Production sebelum ini telah menerima anugerah “Silver Play Button” untuk 100,000 pelanggan dan “Gold Play Button” untuk 1 juta pelanggan.

Sehingga Februari 2020, hanya 566 Saluran YouTube di seluruh dunia yang telah mencapai 10 juta pelanggan.

Saluran YouTube Les’ Copaque telah diwujudkan pada tahun 2009. Ia memaparkan pelbagai harta intelek hasil keluaran syarikat ini seperti Upin & Ipin, Puteri, Pada Zaman Dahulu, DaDuDiDo dan yang terkini siri baru berbahasa Inggeris bertajuk “Upin & Ipin The Helping Heroes” yang mendapat tontonan lebih 2 juta.

Saluran Les’ Copaque Production telah mencecah tontonan lebih 4 bilion.

Upin & Ipin siri animasi popular milik syarikat ini, melalui episod Syahdunya Syawal telah menimbulkan perbualan hangat di media sosial kerana kata-kata kontroversi dari salah satu karakternya bernama Fizi.

Pihak produksi telah mengambil kesempatan itu, menghasilkan video permohonan maaf dari Fizi yang mencapai 19 juta tontonan hanya dalam tempoh seminggu.

Pencapaian ini merupakan sesuatu yang luar biasa, bagi pihak syarikat, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang telah menyokong kami sekian lama dan turut sama membantu mencapai kejayaan ini.

Syabas dan tahniah kepada unit produksi Les’ Copaque Production yang berjaya menghasilkan karya bermutu dan diminati ramai. Untuk semua rakan penyiar dan media kami mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan padu yang diberikan selama ini.