Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memaklumkan Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee telah dilantik sebagai Pengerusi PPZ-MAIWP berkuatkuasa pada Jun 2020.

Beliau menggantikan Datuk Che Mat Che Ali yang telah tamat perkhidmatan pada 31 Mei 2020.

Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee, 58 tahun kelahiran Pulau Pinang berkelulusan Diploma dalam jurusan Kepimpinan dan Pengurusan di New Zealand Institute of Management, New Zealand.

Beliau dianugerahkan Felo Kehormat daripada Liverpool John Moores University, United Kingdom.

Beliau turut dikenali sebagai tokoh korporat di samping turut pernah memegang jawatan penting di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah Technology Park Malaysia.

Beliau juga turut aktif dalam bidang sosial dan memegang beberapa jawatan penting seperti Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Pengerusi Kolej Antarabangsa YPC dan Pengerusi Aktiviti Kemas Parlimen Sri Sarawak.

Atas jasanya terhadap masyarakat dan juga penglibatan yang cemerlang dalam bidang perniagaan dan sosial, beliau telah diberi penghormatan dan pengiktirafan seperti Pingat Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran ‘Datuk’ oleh Kerajaan Negeri Wilayah Persekutuan pada tahun 2009 dan Pingat Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ dari Kerajaan Negeri Wilayah Persekutuan pada tahun 2013.

PPZ-MAIWP yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan ketokohan yang dimiliki oleh YBhg. Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee mampu memacu PPZ-MAIWP agar lebih cemerlang dan dapat memikul amanah dalam menyebarluaskan dakwah zakat seterusnya meningkatkan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan saban tahun.