Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Tajuddin Atan sebagai Pengerusi baharunya berkuatkuasa 3 Jun 2020 menggantikan Tan Sri Dato’ Dr Mohd Munir Abdul Majid yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 2 Jun 2020.
“Bagi pihak Bank Muamalat, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dr Munir atas sumbangan dan khidmat beliau yang tidak ternilai kepada Bank Muamalat.

“Ini terutamanya dalam memimpin pelaksanaan strategi baharu yang meletakkan Bank Muamalat pada landasan yang tepat untuk menyampaikan prestasi yang mampan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.
Beliau berkata, pihak pengurusan dan kakitangan Bank Muamalat mengalu-alukan penyertaan Datuk Seri Tajuddin Atan sebagai ahli Lembaga Pengarah baharu.
Di bawah kepimpinan beliau sebagai pengerusi yang baharu, Bank Muamalat berhasrat untuk terus menerapkan budaya risiko pematuhan Syariah untuk menjadi penyedia perkhidmatan kewangan Islam pilihan di negara ini.
Antara tahun 2011 hingga 2019, Tajuddin berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif /Pengarah Eksekutif Bursa Malaysia Berhad.
Sebelum itu, beliau pernah menyandang jawatan pemimpin kanan di Kumpulan Perbankan RHB, Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan Bank Simpanan Nasional.






































