Setiap Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) mempunyai tanggungjawab untuk membantu rakyat yang memerlukan khususnya ketika negara sedang berdepan dengan keadaan yang sukar akibat penularan wabak COVID-19.
Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, meskipun perlu menyalurkan bantuan ketika berdepan wabak COVID-19, namun setiap NGO perlu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Justeru penderma boleh menyalurkan bantuan kepada NGO yang sah supaya penyaluran bantuan akan sampai kepada sasaran selain bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah jalan terbaik supaya tidak berlaku pertindihan bantuan apabila penyaluran bantuan dibuat,” katanya.
Mustapha berkata demikian ketika menyampaikan bantuan beras (20kg), gula, minyak dan tepung kepada 100 golongan fakir miskin di tepi Sungai Mekong, Vietnam sempena Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri, baru-baru ini.
Beliau yang merupakan Pengerusi NGO Antarabangsa yang amat aktif di peringkat antarabangsa bukan sahaja di Kemboja malah juga aktif di Thailand, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Laos.
Usaha murni beliau membantu masyarakat Islam yang tidak berkemampuan mendapat banyak pengiktirafan termasuk sebagai Tokoh NGO Antarabangsa daripada Perdana Menteri Kemboja.
Malaysia bertuah mempunyai insan yang aktif dan telah meletakkan imej Malaysia di persada antarabangsa.
Selain memegang jawatan sebagai Pengerusi NGO Antarabangsa, Mustapha juga dilantik sebagai penasihat dibeberapa yayasan dan pertubuhan di Malaysia antaranya ialah:
- Pengerusi Yayasan Seaweed (AsiaTenggara)
- Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
- Penasihat Yayasan Anti Rasuah
- Penguasa Kanan Rela Kehormat Putrajaya
- Ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Putrajaya
Mustapha yang begitu aktif dalam memberi bantuan kebajikan di dalam dan luar negara, turut membantu menaikkan taraf masjid di Labuan, Sabah termasuk sebuah tahfiz.
Sehubungan itu, usaha beliau seharusnya mendapat perhatian Kerajaan kerana bukan semua orang mampu melakukan kerja kebajikan seperti Mustapha.
Beliau seharusnya menjadi contoh terbaik apabila berjaya membuat rundingan diplomatik dan perhubungan persahabatan untuk pembebasan 47 tahanan rakyat Malaysia dari Penjara Kemboja pada Februari 2019. Ini kejayaan terbesar beliau buat Malaysia.