Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) mengumumkan kemudahan bayaran zakat fitrah melalui Kod Respon Pantas atau ‘Quick Response Code’ (QR Code) untuk semua umat Islam sempena bulan Ramadan tahun ini.

Penambahbaikan kemudahan berkenaan menepati kecenderungan masyarakat terhadap penggunaan teknologi dan pembayaran melalui QR Code.

Inisiatif ini juga dapat memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab membayar zakat meskipun ketika kekal berada di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif BMMB, Khairul Kamaruddin berkata, inisiatif bayaran zakat fitrah melalui DuitNow QR adalah hasil kerjasama erat dengan empat Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) iaitu Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, inisiatif ini turut memberi nilai tambah kepada pihak Bank dalam menyediakan kemudahan teknologi yang lebih baik kepada para pelanggannya.

Malah, ia bertepatan dengan situasi normal baharu hari ini di mana masyarakat tidak dapat membayar zakat melalui amil ketika PKP.

“Menerusi pembayaran zakat fitrah melalui QR, para pelanggan BMMB dan pelanggan Bank lain yang berdaftar dengan Duitnow QR secara amnya dapat memenuhi tuntutan rukun Islam yang ke-4 melalui platform tanpa tunai dengan mudah dan cepat.

“Pelanggan hanya perlu mengimbas telefon bimbit mereka pada DuitNow QR Bank Muamalat di laman sesawang Zakat Negeri untuk melengkapkan transaksi. Kod QR tersebut turut akan dihebahkan kepada pembayar zakat negeri masing-masing menerusi media sosial seperti WhatsApp dan Facebook’’, katanya.

Katanya, kemudahan DuitNow QR yang diperkenalkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) juga berfungsi sebagai kesalingbolehoperasian antara e-dompet dan bank berlesen.

Beliau berkata, Bank Muamalat juga berhasrat untuk meluaskan inisiatif e-Zakat ke seluruh negara dalam usaha mengembangkan platform tersebut.

Terdahulu, BMMB telah melancarkan e-Derma melalui QR untuk sumbangan derma di masjid-masjid pada pertengahan tahun 2018 dan seterusnya telah mengembangkan perkhidmatan pembayaran melalui imbasan QR kepada kira-kira 3,636 peniaga dan pengusaha runcit yang terlibat, termasuk di masjid-masjid seluruh negara.

BMMB turut meluaskan kemudahan dalam Ibadah wakaf iaitu dengan memperkenalkan eWakaf pada penghujung tahun 2019. Platform tersebut telah berjaya dikembangkan ke empat buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai QR BMMB, sila layari laman sesawang BMMB di www.muamalat.com.my.