Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan melancarkan kempen Raya Bersama PKNS dengan kerjasama platform e-dagang, Shopee Malaysia dan Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) bagi membantu usahawan menghadapi cabaran perniagaan ketika wabak COVID-19.

Program yang diteruskan untuk tahun kedua ini kini melibatkan 51 usahawan di bawah program PKNS BizClub bermula daripada 15 April hingga 15 Mei 2020.

Melalui inisiatif ini, semua usahawan PKNS akan dikumpulkan dalam satu landing page yang akan diiklankan di halaman utama laman web Shopee dan pembeli juga berpeluang untuk menerima coins cashback sehingga 20% apabila mereka melakukan pembelian bersama usahawan PKNS.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato Mohd Azizi Mohd Zain berkata, produk yang ditawarkan usahawan PKNS meliputi pakaian raya, kuih dan biskut raya serta keperluan kecantikan dan aksesori sempena Syawal yang akan menjelang

“Kami sangat berbesar hati kerana dapat meneruskan kerjasama strategik ini untuk tahun yang kedua bersama salah satu platform e-dagang terbesar di rantau ini, Shopee dan mendapat sokongan penuh daripada SITEC dalam merancakkan lagi ekonomi digital di Selangor.” katanya.

Beliau berkata, program Raya Bersama PKNS ini diharapkan dapat menjadi medium terbaik untuk usahawan PKNS mendepani cabaran perniagaan ketika negara sedang menghadapi wabak COVID-19.

Katanya, keputusan kempen tahun lalu kami bersama Shopee sangat memberangsangkan.

“Ada usahawan yang telah menjana jualan sebanyak RM20,000 dalam masa sebulan. Kami amat teruja dan berharap lebih ramai lagi yang akan dapat mencatatkan rekod seperti ini. Inisiatif kami bersama Shopee dapat meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan rakyat Selangor,” katanya.

Sokonglah usahawan-usahawan Selangor kita di – https://shopee.com.my/m/raya-bersama-pkns