Kerajaan Malaysia telah menerima bantuan perubatan tambahan sumbangan daripada Geely Holding Group, dan rakan strategik tempatan, DRB-Hicom, iaitu syarikat induk Proton.
Sumbangan tersebut terdiri daripada topeng muka 3 lapisan, pakaian pelindung, kacamata perubatan dan mesin ventilator AD 700 PL. Kesemua barangan itu akan diedarkan ke 55 buah hospital di seluruh negara seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Bekalan perubatan yang disumbangkan dari Geely dianggarkan bernilai RM5.5 juta (USD1.3 juta).
Sumbangan yang diberi merupakan sebahagian daripada inisiatif Geely Holding untuk
membekalkan peralatan perubatan melalui Yayasan Kebajikan Li Shufu ke kawasan-kawasan yang terjejas di China serta ke negara-negara luar yang beroperasi di bawah syarikat beliau, dengan tujuan membantu membendung penularan pandemik COVID-19.
Yayasan tersebut ditubuhkan pada 2006 oleh pengasas Geely Holding, Li Shufu, yang menumpukan untuk membasmi kemiskinan dan membantu bencana global. Pada Januari 2020, yayasan itu memperuntukkan sebanyak RMB 200 juta (USD 28 juta) untuk menyokong usaha memerangi COVID-19 secara global.
“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab secara sosial, kami mempunyai peranan
untuk menyokong kebajikan setiap syarikat yang beroperasi di bawah kami. Saya sangat
berbesar hati kerana kami mempunyai sumber dan keupayaan logistik untuk menghantar
bekalan yang diperlukan ke kawasan yang dilanda wabak ini.
“Kami akan membantu masyarakat dan pihak berkuasa terutama dari segi perubatan untuk mengatasi penularan wabak ini seboleh mungkin,” kata Pengerusi Geely Holding, Li Shufu.
Selain daripada bekalan perubatan yang diterima dari China, Proton telah meminjamkan
sebanyak 50 unit Proton X70 kepada Kementerian Kesihatan untuk memudahkan operasi
logistik serta turut menghasilkan 60,000 unit pelindung muka di kilangnya di Shah Alam.

Sementara itu, DRB-Hicom sebelum ini turut aktif membantu dalam usaha mencegah COVID-19 di Malaysia.
Bekerjasama dengan anak syarikat lain di bawah syarikat induknya, Kumpulan Albukhary, sumbangan diberikan adalah dari segi wang tunai, peralatan perubatan, makanan untuk hospital kerajaan, pengamal media yang bertugas serta pelajar-pelajar universiti dan turut menyumbang drone jarak jauh yang digunakan bagi aktiviti pemantauan dan pengawasan.
Pengerusi Proton, Dato’ Sri Syed Faisal Albar berkata, “Sebagai penyumbang utama dalam ekonomi negara, ia adalah satu keperluan untuk kami membantu kerajaan dalam memerangi penyebaran COVID-19.
Para petugas barisan hadapan adalah tulang belakang negara jadi amatlah penting bagi kami untuk membantu mereka dalam apa jua cara sekalipun.
“Kami sangat beruntung kerana mempunyai rakan usaha sama seperti Geely yang bermurah hati untuk turut membantu mempermudahkan usaha kami ini”.






































