Jenama motosikal nasional, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom), tampil membantu petugas barisan hadapan, yang bertungkus lumus mengekang penularan wabak Covid-19 yang telah dikategorikan sebagai pandemik baru-baru ini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Memandangkan operasi Modenas berpengkalan di Gurun, Kedah, syarikat telah memutuskan untuk memberi tumpuan inisiatifnya terhadap Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.
Berusaha dalam melaksanakan tanggungjawab kami terhadap komuniti -#MODENASPrihatin
Dengan pembabitan dari pelbagai individu serta badan-badan bukan kerajaan (“NGO”) yang banyak menumpukan perhatian terhadap situasi Covid-19 di hospital-hospital sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, justeru itu, Modenas juga tidak mahu ketinggalan.
Sehubungan itu, Modenas juga turut serta melaksanakan misi kemanusiaan bagi meringankan beban para anggota petugas barisan hadapan yang menjalankan tugasan tanpa mengenal penat lelah dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang sedang melanda di kawasan utara negara ini.
Oleh kerana bilangan kes positif Covid-19 semakin meningkat kian hari, para barisan hadapan kita dikehendaki terus kekal positif dari segi mental dan emosi, dalam menjalankan tanggungjawab.
Pada masa yang sama terus komited dalam memerangi pendamik ini walau pada hakikatnya, kekurangan bilangan jururawat dan doktor yang sekian lama melanda
hospital-hospital di negara ini sebelum hadirnya wabak ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, walau sekecil mana namun sumbangan ini diharapkan dapat memanfaatkan semua.
Modenas serta pekerja-pekerjanya telah menyumbangkan barangan elektrik yang diperlukan oleh Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, seperti, kipas, cerek elektrik serta air mineral dengan harapan dapat memberikan sedikit keselesaan kepada kakitangan hospital yang bertungkus lumus tanpa lelah merawat pesakit Covid-19 yang secara tidak langsung meletakkan risiko yang tinggi juga terhadap kesihatan mereka sendiri.
“Ini merupakan sumbangan yang tidak seberapa dari pihak kami, sebagai tanda penghargaan kepada para doktor, jururawat, sukarelawan, pembantu perubatan dan juga tidak ketinggalan para pegawal keselamatan.
“Sememangnya ia merupakan satu pengorbanan yang besar, buat kakitangan barisan hadapan di samping terpaksa meninggalkan anak kecil dan keluarga demi keselamatan negara,” katanya.