SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mengadakan kerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi memudahkan PKS membuat pembayaran zakat perniagaan.
Susulan kerjasama ini, Majlis Zakat Usahawan 2020 telah dianjurkan di Dewan Mahkota,
SME Corp Malaysia yang bertujuan untuk menggalakkan PKS di bawah naungan SME Corp Malaysia untuk membayar zakat perniagaan mereka di PPZ-MAIWP, selain memberikan maklumat mengenai zakat perniagaan secara terus kepada usahawan yang menjalankan perniagaan di Wilayah Persekutuan.
Bersempena dengan Majlis ini, sijil perakuan pembayaran zakat telah diserahkan kepada kesemua 20 syarikat PKS di bawah naungan SME Corp. Malaysia yang telah membayar zakat perniagaan di PPZ-MAIWP dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM114,150.
Membayar zakat merupakan kewajipan yang dituntut di kalangan umat Islam. Justeru itu, penyerahan sijil zakat perniagaan ini secara tidak langsung dapat memberikan keyakinan kepada para pelanggan mengenai urusniaga syarikat, seterusnya membantu memberi pulangan yang lebih positif terhadap syarikat-syarikat PKS tersebut.
Pada tahun 2019, SME Corp. Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan MAIWP melalui Program Tunas Usahawan Baitulmal (TUB) yang bertujuan untuk mentransformasikan usahawan asnaf MAIWP “Dari Penerima Zakat ke Pembayar Zakat” melalui latihan keusahawanan.
Dengan menggunapakai konsep dan model Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera, Program TUB telah membantu meningkatkan operasi perniagaan 84 usahawan asnaf.
Program ini telah menerima maklumbalas yang positif dan akan diteruskan lagi pada tahun 2020 dengan sasaran seramai 100 usahawan asnaf lagi untuk dibangunkan.
Turut diadakan semasa Majlis Zakat Usahawan 2020 ialah Slot Penceramah Jemputan yang disampaikan oleh Ustaz Fauzi Mustafa bertajuk “Halal Haram Dalam Perniagaan”. Di antara tetamu yang hadir di Majlis Zakat Usahawan 2020 ini ialah Zaky Moh, Ketua Pegawai Bahagian Pembangunan Kluster SME Corp Malaysia dan Ahmad Shukri Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP.