Telekom Malaysia Berhad (TM) ingin membawa perhatian anda kepada kebimbangan yang
dibangkitkan oleh sebahagian daripada pengguna internet di Malaysia, khususnya para
penggemar permainan atas talian atau ‘gamers’, berkenaan kesukaran untuk mengakses ke beberapa pelayan (server) permainan atas talian antarabangsa seperti EA, Ubisoft dan
Playstation Network (PSN).

Kami ingin menjelaskan bahawa TM tidak menyekat pelayan-pelayan permainan atas talian
kerana kami sememangnya memahami dalam gaya hidup digital masa kini, permainan video dan e-sukan mempunyai pengaruh besar kepada ramai individu, termasuklah kami!

Selain itu, kami telah menjalankan siasatan terperinci berkenaan perkara ini dan kami turut
menghubungi penyedia-penyedia pelayan berkenaan. Siasatan tersebut mendapati bahawa isu berkenaan bukan sahaja dialami oleh para pengguna unifi, malah para ‘gamers’ di rangkaian-rangkaian lain di Malaysia malah di seluruh dunia.

Oleh itu, isu yang dihadapi tidak melibatkan rangkaian TM. Terdapat pelbagai senario yang mungkin memberi kesan kepada kebolehcapaian pengguna kepada pelayan-pelayan permainan antaranya termasuklah pelbagai log masuk secara serentak dan cubaan log masuk yang tidak tepat.

Kami ingin mencadangkan kepada para pengguna agar berhubung secara terus dengan penyedia pelayan berkenaan untuk menyemak sekiranya ada sebarang isu berkaitan ID log masuk mereka atau jika ada langkah konfigurasi yang mungkin  mereka perlu semak dalam usaha untuk menyelesaikan isu ini.

Para pengguna juga boleh mendapatkan bantuan daripada komuniti unifi tentang isu-isu
perkhidmatan mereka. Kami mempunyai komuniti pengguna unifi yang aktif membantu antara satu sama lain.

Komuniti unifi ini merupakah laman terbaik untuk para pengguna yang berdepan masalah yang sama dan berkongsi penyelesaian untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul. Para
pengguna yang mengalami masalah konfigurasi PSN Network Address Translation (NAT) telah menemui penyelesaian kepada isu yang mereka hadapi di
(https://community.unifi.com.my/t5/unifi-mobile/NAT-TYPE/td-p/11810).

TM ingin menyakinkan para pengguna bahawa kami akan terus memastikan pengalaman
permainan terbaik buat para ‘gamers’ atas talian dengan rangkaian kami yang menyeluruh dan sambungan terluas serta rangkaian infrastruktur konvergens.

Ini disokong oleh pelbagai sambungan rangkaian padan secara terus (multiple direct peering connections), 12 pusat data, 20 sistem kabel dasar laut meliputi seluruh dunia, lebih 560,000 km kabel fiber optik di peringkat domestik dan antarabangsa.

Selain itu, pusat operasi rangkaian kami yang berteknologi tinggi sentiasa memantau rangkaian kami secara proaktif dan mengoptimumkan laluan trafik data untuk mengatasi dan mengelakkan kesesakan bagi mempertingkatkan lagi pengalaman keseluruhan pengguna digital Malaysia termasuklah komuniti pemain permainan maya.