Kehadiran peranti kelas pertengahan kini semakin mendapat perhatian gergasi pengeluar telefon pintar dunia dan tidak terkecuali Samsung apabila menawarkan harga lebih berbaloi berbanding kelas premium.

PENGENALAN telefon pintar terbaharu Samsung Galaxy A51 yang akan mula memasuki pasaran pada 7 Februari ini adalah salah satu peranti yang memberi tumpuan kepada kelas pertengahan yang menawarkan pelbagai ciri terkini sesuai dengan citarasa pengguna milinial masa kini.

Sebagaimana kita sedia maklum, pemilihan telefon pintar bukan sahaja lebih khusus kepada aspek fotografi, membaca mesej atau melayari laman sosial namun bagi penulis sendiri ia lebih daripada segala-galanya.

Ini diakui penulis sendiri yang berdepan dengan masalah telefon pintar (model lama S7 Edge) yang tiba-tiba baterinya ‘totally out’ dan bernasib baik apabila menerima peranti Samsung Galaxy A51 untuk diuji seolah-olah menjadi penyelamat kepada keadaan yang mencemaskan ini.

Hasilnya, apabila digunakan sepanjang hari mendapati telefon itu mempunyai ciri yang praktikal, ringan dan mudah dibawa kerana beratnya hanya 172 gram dengan ciri kamera quad yang berfungsi cukup baik.

Kebetulan pula, ketika telefon ini diuji, penulis menggunakan kelebihan kamera belakang 48 megapiksel (MP) untuk mengambil gambar majlis pernikahan dan persandingan anak saudara. Hasil gambar yang dirakam boleh diberikan pujian meskipun bukan sampai tahap kamera jenis profesional.

Tak cukup dengan gambar foto, saya juga menggunakan kamera video untuk menghasilkan video pendek berdurasi lebih 4 minit menggunakan aplikasi FilmoraGo dan cukup mengujakan apabila kualiti video dihasilkan memang cantik manakala proses suntingan dilakukan juga mudah dan pantas hanya dihujung jari.

Peranti ini dijana menggunakan cip Samsung Exynos 9611 dengan binaan 10nm. Ia juga dilengkapi memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Jika anda memerlukan saiz storan lebih besar, kad microSD bersaiz sehingga 512GB boleh digunakan pada slot kad SIM kedua. Terdapat 3 slot kad disediakan pada peranti ini.

Meskipun peranti ini belum dipasarkan secara rasmi dan hanya dibuka menerusi tempahan dalam talian pada 3 Februari lalu, Prebiu.com berasa bertuah dipilih menjadi antara media terawal yang memperoleh unit terbaharu ini.

SPESIFIKASI

Berbalik kepada rekaannya, Samsung Galaxy A51 menggunakan skrin bersaiz 6.5-inci dan panel Super AMOLED rekaan Infinity-O yang mana kelebihannya anda boleh menggunakan sepenuhnya ruang skrin untuk melihat atau ketika merakam foto.

Resolusi peranti dengan rekaan yang moden ini ialah FHD+ 1080 x 2400 dengan 405 ppi dan juga perlindungan skrin jenis Gorilla Glass 3.

Skrin peranti ini cukup hebat kerana warna yang dihasilkan amat terang, jelas dan realistik. Menggunakan skrin ini untuk membelek semula gambar atau menonton video di YouTube cukup menyeronokkan.

Penulis yakin dengan resolusi gambar dihasilkan mampu menjadikan Samsung A51 sebagai telefon pilihan kepada mereka yang sedang tercari-cari telefon baharu atau menggantikan telefon sedia ada yang sudah ‘lanjut usia’.

Memetik kata seorang rakan, ‘apa barang handpone guna satu lens, sekarang empat lens la’. Mahu tercabar jika kata-kata ini diucapkan kepada pengguna telefon yang masih ‘setia’ kepada satu lensa.

Sebagaimana peranti Galaxy A yang lain, Samsung masih memberi tumpuan kepada telefon untuk kegunaan gaya hidup masa kini. Jika anda masih baharu dengan ciri yang ditawarkan pada peranti ini pilih sahaja bahagian tetapan dan melihat kepada bahagian tips and user manual.

Dibahagian ini semua ciri ditawarkan pada telefon ini dijelaskan secara terperinci dan mudah difahami.

Meskipun memilliki saiz skrin 6.5 inci dan bahan binaan badan yang kelihatan premium, tangan penulis tidak lenguh apabila menggunakan peranti ini dalam tempoh lama, cukup selesa di tangan kerana ia tidak begitu tebal.

Meskipun peranti ini dipadankan dengan pembesar suara pada jenis mono namun kualiti audio cukup jelas walaupun ditala pada tahap tertinggi ketika memainkan video muzik di YouTube.

BATERI

Kapasiti bateri yang dipadankan dalam Galaxy A51 adalah 4000mAh dan bagi penulis ia sudah cukup memadai apabila seharian menggunakan peranti ini untuk mengambil foto dan video.

Daya tahan baterinya mampu bertahan seharian namun semua ini bergantung kepada sejauh mana peranti ini digunakan. Bagaimanapun, anda boleh menggunakan tetapan Adaptive Battery dan mod Optimized bagi tujuan menguruskan sistem peranti ini dengan lebih pintar apabila sesetengah aplikasi akan direhatkan secara pintar.

Sistem pengecasan yang digunakan pula ialah jenis Adaptive Fast Charging dengan kuasa 15W yang hanya mengambil masa beberapa minit untuk pengecasan penuh dan jenis pengesas USB-PD bagi memudahkan pengguna.

KAMERA

Samsung Galaxy A51 menggunakan sistem kamera Quad dari lensa 48MP f/2.0 (utama) + 12MP f/2.2 (sudut ultra lebar) + 5MP f/2.4 (makro) + 5MP f/2.2 (bokeh).

Untuk kamera swafoto pula adalah 32MP f/2.2. Hasil gambar yang dirakam keseluruhannya memang mengagumkan sesuai dengan tanda harga ditawarkan. Hasil foto daripada lensa bokeh juga cantik apabila diaktifkan manakala lensa makro boleh mengambil gambar semut dengan mudah.

Manakala lensa sudut ultra lebar pula cukup memuaskan dan ciri kestabilan video mampu memberikan kelebihan daripada segi kualiti yang dihasilkan seolah-olah seperti menggunakan kamera video sebenar.

KESIMPULANNYA

Samsung Galaxy A51 adalah sebuah peranti yang berbaloi pada tanda harganya iaitu RM1,299. Apa yang menarik perhatian penulis ialah lensa kamera yang dipadankan memberikan hasil gambar cantik dan warna yang jitu.

Sistem operasinya juga mesra pengguna dan menawarkan pelbagai fungsi mengikut kehendak pengguna.

Jika anda seorang pengguna tegar media sosial, peranti ini adalah pilihan tepat kerana segala-galanya ada daripada sudut kamera sehinggalah sistem pemprosesan yang kukuh.

Peranti ini a akan dijual bermula 7 Februari ini. Warna yang ditawarkan adalah Prime Crush hitam, biru dan putih.