Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), badan profesional bagi arkitek Malaysia mengumumkan bahawa Festival Seni bina Kuala Lumpur (KLAF) kembali dan akan diadakan dari 15 Februari hingga 16 Ogos 2020.

Terbuka kepada orang ramai, perayaan tahunan ini merupakan acara utama dalam kalendar seni bina Malaysia yang meneroka jauh ke dalam aspek seni dan seni bina.

Pengarah KLAF2020, Ar. Dr Tan Loke Mun berkata, acara ini dianjurkan setiap tahun untuk memberi inspirasi kepada arkitek Malaysia dengan idea-idea terkini dan merangsang industri seni bina di negara ini.

“KLAF menunjukkan komitmen PAM untuk memacu kecemerlangan dalam bidang seni bina serta menetapkan piawaian untuk perundingan dan pendidikan seni bina.

“KLAF2020 direka dengan pelbagai tumpuan yang merangkumi lakaran, pendidikan, bangunan warisan, kemampanan bangunan dan penghijauan Malaysia,” katanya.

KLAF2020 akan dilancarkan sempena Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PAM di Kuala Lumpur pada 15 Februari 2020. Orang ramai boleh menyaksikan persembahan tarian singa akrobatik oleh kumpulan berpengaruh di peringkat dunia iaitu Kun Seng Keng.

Mereka juga akan mengadakan lawatan sekitar bangunan hijau PAM serta jualan karnival barangan pre-loved dengan lebih daripada 50 gerai di APW, Bangsar sebagai sebahagian daripada promosi kemampanan dan kitar semula.

Orang ramai yang berminat membuka gerai di jualan pre-loved KLAF di APW boleh emel ke
[email protected].

Selain dari Rumah Terbuka Tahun Baru Cina tradisional yang akan diadakan di Pusat PAM di Jalan Tandok, Bangsar, acara pelancaran KLAF2020 akan dilengkapi dengan perbincangan mengenai tema Beyond Architecture: Seni Bina Perayaan oleh Ar. Chong Yan Chuah dan Ar. Tay Kheng Soon.

Ar. Chong Yan Chuah, seorang artis digital dan pemikir pelbagai disiplin, membina dunia melalui filem, lukisan dan seni pemasangan. Karya-karyanya menyajikan visi artistik realiti khayalan alam melalui pengalaman sensori yang mendalam.

Ar. Tay Kheng Soon adalah pengerusi pengasas Substation, pusat percubaan Komuniti Seni dan Fellow Akademi Seni & Sains Dunia. Beliau kini Profesor Sandaran di Sekolah Seni Bina di NUS, Singapura.

Pelancaran KLAF2020 diteruskan pada hari Ahad, 16 Februari, 2020 dengan aktiviti – aktiviti menarik berdasarkan tema “Beyond Heritage Conservation” untuk orang ramai.

Pelancaran KLAF2020 ‘Beyond Heritage Conservation’ dengan kerjasama Kuala Lumpur
Urban Sketchers Pelancaran KLAF2020 Beyond Heritage Conservation akan diadakan pada 16 Februari 2020 di REXKL, Jalan Sultan, Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

Ceramah mengenai pemuliharaan warisan akan dijalankan oleh Dr Dalila ElKerdany, Profesor Seni Bina & Reka bentuk Bandar di Universiti Kaherah, Mesir dan Pemenang Pingat Emas PAM 2019 Ar. Laurence Loh Kwong Yu.