MOX, dengan kerjasama Sunway Putra Mall, memperkasakan dan menyatukan komuniti kreatif tempatan
MOX, jenama di bawah INVADE iaitu syarikat penggunaan ruang secara kreatif dan pengurusan acara berpangkalan di Singapura, telah melancarkan MOX Malaysia dengan kerjasama Sunway Putra Mall.
Berbekalkan kejayaan konsep sedia ada di Singapura, ruang reka bersama baharu tersebut adalah yang terbesar sepertinya di Malaysia, dengan matlamat menghimpunkan dan memperkasakan komuniti kreatif menerusi ruang kerja bersama, peluang menzahirkan idea dan memanfaatkan landasan antarabangsa.
“Walaupun industri kreatif Malaysia terus berkembang maju, insan kreatif berbakat masih
tersebar dan terasing,” kata Kent Teo, Ketua Pegawai Eksekutif INVADE.
“Sebagai penganjur ruang runcit inovatif terulung yang memiliki dan menganjurkan beberapa pasaran pop-up (ruang bukan tetap) terbesar di Singapura dan Malaysia, kami sentiasa berhubung dengan bakat-bakat kreatif ini.
“Selama ini kami sedar akan faktor yang menimbulkan cabaran bagi mereka, seperti
kurangnya ruang kerja kreatif, capaian terhad kepada kelengkapan dan peralatan, dan peluang terhad untuk membina jaringan umum. Kami bertekad untuk menyelesaikan segala cabaran ini menerusi MOX Malaysia.”
Dalam pembentangan Bajet 2020 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan bahawa RM1 bilion akan diperuntukkan untuk mengukuhkan keusahawanan di Malaysia, yang meliputi pelbagai segmen masyarakat.
Oleh yang demikian, MOX Malaysia serta aspirasinya telah dizahirkan tepat pada masanya untuk menyokong karyawan berbakat dan usahawan tempatan.
MOX Malaysia terletak di pusat perniagaan utama Kuala Lumpur, dengan lokasi perdananya di Sunway Putra Mall. Menduduki ruang lantai kasar seluas 21,000 kaki persegi, MOX Malaysia menyediakan ruang kerja bersama, tempat jual beli, kafe dan pelbagai kemudahan khas semuanya di satu tingkat.
Ini termasuk auditorium seluas 2,000 kaki persegi dan bilik penyiaran bagi karyawan untuk mengadakan acara, menayangkan filem, membuat pembentangan dan berhubung secara terbuka dengan khalayak sasaran.
Ruang penganjuran bersama ini juga sedia terhubung ke tempat-tempat lain di sekitar bandar raya, dengan sambungan terus ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pusat Dagangan Dunia Putra.
MOX Malaysia menempatkan kelengkapan serba baharu seperti studio sumber profesional bagi fotografi, videografi dan rakaman audit di samping bengkel am untuk sesi bengkel berasaskan pengalaman dan sesi kraf tangan.
MOX Malaysia bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan bagi perniagaan kreatif, dengan
unsur-unsur runcit seperti Marketplace – zon runcit berbilang label terkhusus, dengan hasil seni rekaan terpilih yang dicipta sendiri oleh ahli masing-masing.
Manakala Waiting Gallery, selain daripada menawarkan kemudahan layanan peribadi dan ruang menunggu untuk bukan ahli, turut menjadi galeri seni bersama untuk mempamerkan hasil karya ahli.
Di samping itu, sebuah kafe sosial disediakan sebagai zon santai untuk ahli dan juga orang awam, dan juga untuk menganjurkan pertemuan segera.
Ahli-ahli juga berpeluang menganjurkan bengkel kreatif di MOX Malaysia dan menyertai pasaran runcit INVADE yang amat popular, termasuk Artbox dan Pasar Malam Shilin.