UDA Holdings Berhad (UDA) berjaya meraih anugerah ‘1 ST Global Waqf Conference Recognition Awards’ bagi kategori Organisasi Promosi dan Inovasi Wakaf Terbaik.
Pengiktirafan itu disampaikan oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri sempena ‘1 st Global Waqf Conference 2019’, baru-baru ini.
Anugerah berprestij itu telah diterima wakil UDA sewaktu Majlis Makan Malam Persidangan Global Wakaf (GWC) ke-7 yang berlangsung pada 11 November 2019.
YBrs Sr Mohd. Salem Kailany berkata, “Penganugerahan tersebut adalah berdasarkan penglibatan UDA dalam industri pembangunan hartanah wakaf di Malaysia. UDA sentiasa fokus dan komited dalam memperkasakan ummah menerusi pembangunan residensi dan komersial di atas tanah wakaf yang terletak di kawasan bandar strategik serta berpotensi untuk dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata, “Kerjasama antara UDA dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam pembangunan hartanah wakaf turut menggalakkan pembangunan dan aset wakaf yang mampan.
Selain itu, ia turut mempromosikan serta meyakinkan institusi perbankan bagi pembangunan wakaf dan pembiayaian akhir. Inisiatif ini juga meningkatkan kesedaran masyarakat umumnya berhubung industri pembangunan hartanah wakaf yang mempunyai nilai dan mampu menjana pendapatan bagi menyokong ekonomi ummah,” katanya lagi.
UDA menerusi anak syarikat UDA Waqf Sdn Bhd (UDA Waqf) telah menjalankan kajian ke atas tanah wakaf yang berpotensi untuk dimajukan. UDA turut membentangkan dan mencadangkan bentuk pembangunan yang sesuai kepada semua MAIN termasuk di Sabah dan Sarawak dengan memperkenalkan konsep pembangunan tanah wakaf Seetee Aisah, Seberang Perai, Pulau Pinang sebagai model pembangunan tanah wakaf terbaik.
Ketika ini, UDA Waqf sedang giat membangunkan pembangunan bercampur yang terletak di Alor Setar dikenali dengan nama Taman Sultan Sallehuddin. Pembangunan Taman Sultan Sallehuddin ini merupakan projek usahasama di antara UDA Waqf dengan Majlis Agama Islam Negeri Kedah.
Projek berkeluasan 27.23 ekar ini bakal menyediakan 286 unit kediaman dan komersial dengan nilai pembangunan kasar bernilai RM99.60 juta.
Selain daripada itu, pembangunan hartanah wakaf terkini oleh UDA adalah projek Wakaf Seetee Aisah II yang terletak di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Pembangunan oleh UDA Land North ini adalah rentetan kejayaan pembangunan Wakaf Seetee Aisah I yang telah dibangunkan dan diserahkan kepada MAINPP pada 10 Oktober 2012 di atas lot tanah yang sama dengan keluasan 9.27 ekar.
UDA menerusi UDA Land North juga telah membangunkan Wakaf Mohamed Hashim secara usahasama dengan MAINPP. Pembangunan ini keluasan 1.14 ekar yang mengandungi 68 unit pangsapuri dengan nilai pembangunan kasar bernilai RM15.34 juta.
Pembangunan Wakaf Mohamed Hashim terletak di Seberang Perai Tengah telah siap sepenuhnya pada suku keempat 2017 dan merupakan pembangunan tanah wakaf pertama yang menerima strata di Malaysia.