AirAsia melancarkan pesawat dengan rekaan hiasan atau ‘livery’ khas ‘Selamatkan Harimau Malaya’ untuk menyokong kempen kerajaan dalam usaha menyelamatkan populasi harimau Malaya yang kian pupus.
Pesawat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AirAsia bagi menyokong program pemuliharaan alam sekitar dan untuk menggalakkan rakyat Malaysia memberi sokongan mereka terhadap kempen tersebut.
Hiasan pesawat Airbus A320 tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Yang Berhormat Dr Xavier Jayakumar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat di Sepang.
Ketua Hal Ehwal Global & Kelestarian Kumpulan AirAsia, Shasha Ridzam berkata, “Harimau Malaya adalah simbol kekuatan dan juga sebahagian daripada identiti negara kita. Kita tidak mahu anak-anak kita membesar di dunia yang mana Harimau Malaya hanya wujud sebagai imej pada jata negara sahaja.
“Itulah sebabnya kita harus memainkan peranan untuk melindungi mereka. Saya berharap pesawat khas ini dapat membantu memacu kempen pemuliharaan hidupan liar oleh pihak kerajaan ke tahap seterusnya.”
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes juga berkata, “Tahniah kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di atas langkah-langkah proaktif yang diambil dalam melindungi Harimau Malaya dan kami berbangga dapat memainkan perananan kami dalam membantu kempen ini.”
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Yang Berhormat Dr Xavier Jayakumar berkata, “Kami bangga kerana kempen Selamatkan Harimau Malaya dan Hutan Kita kini disokong oleh AirAsia.
Simbol kebangsaan kita yang kian pupus amatlah membimbangkan dan bukti yang jelas bahawa kita perlu melakukan sesuatu untuk pemuliharaan harimau kita. Selain itu, Kempen ‘Hutan Kita’ juga amat penting, kerana tanpa hutan kita, harimau dan hidupan liar mungkin tidak akan ada.
“Kami berharap dengan sokongan AirAsia, kami dapat meningkatkan kesedaran mengenai mesej penting ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini untuk menyelamatkan harimau kita.”
AirAsia juga menyokong kempen alam sekitar lain oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dengan menaja penerbangan pergi dan balik kepada 10 orang asli untuk menghadiri Pameran Hutan Kita pada Ogos 2019, serta menyokong lawatan ke Pusat Menyelamatkan Hidupan Liar Kebangsaan (NRWC) di Sungkai, Perak bersama Allstars pada Oktober 2019.
Usaha kelestarian AirAsia juga termasuklah program kesedaran kepada tetamu kami, mengurangkan karbon dan pengurusan sisa, pengumpulan dan pemisahan barang-barang kitar semula serta program pelancongan yang berasaskan komuniti seperti JourneyD. AirAsia juga melanjutkan inisiatif perusahaan sosial di seluruh Asean menerusi yayasannya, AirAsia Foundation.