Linde Malaysia (Linde), ahli kumpulan Linde plc, sebuah syarikat gas perindustrian dan kejuruteraan terkemuka di dunia, telah memperluas pembekalan penyelesaian oksigen mudah alih uniknya, CONOXIA®, ke hospital-hospital di wilayah utara Malaysia.

Penyelesaian gas perubatan ini bertujuan untuk meningkatkan penanda aras pengalaman penjagaan pesakit di wilayah utara, aspek yang pasti disambut baik oleh komuniti pesakit tempatan dan pelancong perubatan.

“Kami sukacita untuk menyokong pertumbuhan sektor penjagaan kesihatan Malaysia dengan membekalkan CONOXIA® kepada pelanggan di wilayah utara. Hospital, profesional perubatan dan penjaga pesakit di wilayah utara Malaysia akan menerima kelengkapan yang kukuh dengan jaminan daripada Linde sebagai rakan penyelesaian gas perubatan yang boleh dipercayai, inovatif dan berkualiti, disokong oleh pengalaman selama 60 tahun dalam industri,” kata Pengarah Urusan Linde Malaysia, Anuj Sharma.

Malaysia, khususnya Pulau Pinang, terus mengukuhkan momentum untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan menerusi teknologi inovatif dan amalan terbaik. Ini telah meletakkan pulau mutiara ini di peta global, menarik kunjungan pesakit dari seluruh dunia.

Menurut data daripada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Malaysia adalah antara destinasi paling kerap dikunjungi bagi pelancongan perubatan, dengan 1.2 juta pelancong perubatan yang mengunjungi Malaysia pada 2018.

Di dalam negara, Pulau Pinang ialah destinasi pelancongan perubatan utama, menjana 40 hingga 50 peratus daripada pendapatan pelancong perubatan negara. Pada 2017 sahaja, industri penjagaan kesihatan Pulau Pinang memperoleh hasil berjumlah kira-kira RM500 juta (US$165 juta).

“Pulau Pinang terus berkembang maju dalam bidang pelancongan perubatan. Populariti negeri ini dalam industri pelancongan perubatan telah menarik ramai pengunjung untuk mendapatkan rawatan sejajar dengan cita-cita kami menjadikan Pulau Pinang sebuah destinasi pelancongan kesihatan yang ideal.

“Ini dapat dilaksanakan menerusi kerjasama pintar antara sektor swasta dan awam dengan berkongsi ilmu, teknologi dan inovasi. Ini benar-benar meningkatkan daya saing dalam industri penjagaan kesihatan, dan seterusnya membawa manfaat kepada pesakit.

“Saya menggalakkan lebih banyak pihak untuk tampil ke hadapan dan bekerjasama dengan kami menerusi pakatan seperti ini yang pada asasnya memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup sejajar dengan Wawasan 2030 kerajaan negeri Pulau Pinang,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Memahami keperluan sektor penjagaan kesihatan Malaysia yang sentiasa berubah, Linde memanfaatkan pengalaman dan teknologi globalnya yang dinamik untuk membangunkan penyelesaian gas perubatan inovatif yang khusus untuk memenuhi keperluan unik pasaran.

Inovasi yang ditawarkan bagi sektor ini, iaitu CONOXIA®, ialah penyelesaian gas perubatan yang dipakej dalam silinder oksigen mudah alih ringan dengan Injap Bersepadu Linde (LIV®) yang terkini. LIV® ialah sejenis pengawal atur bersepadu yang mengawal aliran oksigen dan membolehkan penjaga memberikan CONOXIA® kepada pesakit dengan mudah dan selamat.

Dengan berat kurang daripada enam kilogram, CONOXIA® merupakan silinder oksigen perubatan paling ringan yang boleh didapati di Malaysia. CONOXIA® bersedia untuk memberikan kemudahan dan penjimatan kos sebagai penyelesaian gas perubatan pilihan bagi ahli profesional kesihatan dalam persekitaran hospital, penyedia perkhidmatan kecemasan dan juga pesakit yang menerima rawatan di rumah.

Pelancaran CONOXIA® membolehkan hospital di wilayah utara memanfaatkan rantaian bekalan serba lengkap Linde, daripada pengeluaran, kawalan kualiti, pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran – yang mematuhi piawaian farmaseutikal, menjamin kualiti dan kebolehpercayaan gas, serta keselamatan pesakit.

“Sesungguhnya semua orang boleh memainkan peranan untuk membantu sektor penjagaan kesihatan berkembang maju sejajar dengan piawaian global. Linde sedia dan sukacita untuk menyumbang pengalaman global, amalan terbaik dan teknologi kami kepada sektor penjagaan kesihatan di Malaysia dalam usahanya untuk melangkah lebih jauh menyediakan penjagaan perubatan bertaraf dunia,” kata Sharma.

Linde telah mengumumkan pelancaran CONOXIA® secara rasmi di wilayah utara di Hospital Adventist Pulau Pinang, Georgetown, sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.