Exco Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman yang mewakili Menteri Besar Selangor hari ini melancarkan Perlumbaan Tour de Selangor 2019 (TDS 2019), yang bakal disertai 120 pelumba handalan dari 20 pasukan terkemuka di rantau Asia, tempatan, kebangsaan dan negeri.

Selangor menyasarkan Tour de Selangor untuk disenaraikan dalam Kalendar Jelajah Asia UCI bersama-sama Le Tour de Langkawi dan Jelajah Malaysia.

Mohd Khairuddin Othman (kiri) dan Adi Faizal Ahmad Tarmizi, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor

Tour de Selangor juga akan menjadi platform untuk menarik pelaburan dari sektor swasta di Selangor yang akan digunakan bagi membangunkan sukan pelancongan dan kemudahan di negeri ini.

Objektif perlumbaan itu juga ialah untuk mengundang lebih banyak pasukan profesional kompetatif dan terkemuka UCI untuk berentap dengan pasukan kebangsaan, negeri dan kelab.

Perlumbaan berkenaan akan berlangsung mulai 18 Disember hingga 22 Disember 2019, saingan 5 hari yang bakal membabitkan sembilan daerah di Selangor, termasuk Pulau Indah, Cyberjaya, Subang, Selayang dan Shah Alam, di mana pelumba akan melalui sebahagian tempat menarik dan ikonik di Selangor, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 716km.

Dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor, acara ini mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

Perlumbaan basikal profesional itu diiktiraf oleh Union Cyclist Internationale (UCI) yang berpusat di Perancis.

Acara itu dijangka memikat kira-kira 100,000 penonton sepanjang lima hari. Ia juga menyasarkan matlamat untuk mencungkil bakat baru dan pelumba basikal amatur untuk Selangor serta negara.

Perlumbaan terbabit dijangka mendapat liputan media meluas dari seluruh negara Asia menerusi media cetak, elektronik, web dan media sosial.

Penyokong dan peminat lumba basikal berpeluang untuk menonton perlumbaan penuh harian menerusi live streaming di Facebook dan Youtube.

Ketika perlumbaan, penganjur juga turut mengadakan program bersama orang awam di lokasi acara di sepanjang laluan dengan pengisian program terkini dan relevan untuk komuniti lumba basikal dan juga masyarakat umum.

Untuk maklumat lanjut sila layari Facebook:  tourdeselangor dan Instagram: tourdeselangor_official, atau layari http://tourdeselangor.my/.