Lonjakan jualan Proton pada tahun 2019 membawa syarikat kembali ke tangga teratas pasaran automotif Malaysia.

PENCAPAIAN penting dicatatkan pada akhir bulan September di mana jualan melebihi jumlah jualannya pada 2018 dalam tempoh tiga suku tahun 2019.

Dengan jumlah sebanyak 70,330 unit didaftarkan setakat ini (domestik + eksport), berbanding 64,744 bagi jumlah keseluruhan tahun lepas, Proton kini berada di landasan yang betul untuk mencatat satu angka pertumbuhan yang besar sepanjang tahun ini.

Dengan sebanyak 8,934 unit (domestik + eksport) didaftarkan pada September 2019, Proton mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 97% berbanding 4,524 unit pada bulan sama tahun lepas.

Proton menganggarkan pegangan pasaran sebanyak 20.2%, menunjukkan kadar jualan syarikat meningkat lebih tinggi berbanding pesaing.

Angka ini merupakan yang tertinggi dalam tempoh 66 bulan dan membantu meningkatkan pegangan pasarannya setakat ini sebanyak 15.8% pada tahun ini.

Model Proton paling menjadi pilihan pada September adalah Saga. Sebanyak 3,994 unit telah diserahkan bulan lepas, merupakan jumlah tertinggi bagi sebuah model Proton pada 2019. Angka itu juga bermaksud Saga adalah sedan segmen A terlaris di Malaysia, kedudukan yang dicapai semula selepas hampir tiga tahun.

“Dengan jumlah yang melebihi volum jualan keseluruhan tahun 2018 hanya dalam tempoh sembilan bulan, ia dapat menyasarkan untuk mencapai nombor jualan terbaik sejak 2015.

“Apa yang lebih penting adalah Saga telah kembali di kedudukan nombor satu dalam segmennya. Meskipun baharu dilancarkan kurang dari dua bulan yang lalu, sambutan daripada rakyat Malaysia sangat positif,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

 

Proton X70 telah mengekalkan kedudukannya sebagai SUV paling laris di dalam kelasnya. Untuk meraikan prestasinya pada tahun ini, Proton kini memberi tawaran tambahan kepada pembeli yang membelinya pada Oktober.

Selain daripada tawaran sedia ada iaitu servis pekerja percuma selama lima 5 tahun, jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun serta pakej data Internet selama 5 tahun yang ada di dalam setiap unit, terdapat juga tawaran pakej insurans bersubsidi dan insentif overtrade bernilai sehingga RM2,000.