Projek Legasi Ratna, inisiatif Exco Jaringan Komuniti dan Antarabangsa, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali lagi membuktikan keupayaan mahasiswa sebagai agen pemerkasaan sosial apabila berjaya mewujudkan jaringan kerjasama erat dengan komuniti Felda Kumai melalui rangkaian aktiviti pembangunan, kebudayaan dan kesukarelawanan sepanjang tiga hari pelaksanaannya.
Program ini turut menerima sokongan kukuh daripada rakan kerjasama strategik, iaitu Klinik Kesihatan Kumai, JPKK Felda Kumai, University Community Transformation Centre (UCTC) UPSI, UPSI Holding Sdn. Bhd. (UHSB), Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI, Malaysia Youth Community (MYC) dan Zillion Sollutions.
Penglibatan pelbagai agensi ini mempertingkat impak program melalui kepakaran, fasilitasi logistik dan bantuan tenaga kerja yang bersepadu.
Pengarah Program, Saudara Danish, menyifatkan Projek Legasi Ratna yang dilaksanakan bermula 16 hingga 18 Januari itu sebagai sebuah wadah pembelajaran luhur yang mengupayakan mahasiswa memahami realiti masyarakat secara dekat dan autentik dengan penglibatan 36 mahasiswa UPSI.
“Projek ini dirangka bukan hanya untuk menyantuni masyarakat, tetapi juga bagi memupuk kesedaran bahawa ilmu dan kepimpinan mesti disertai jiwa yang merendah diri. Mahasiswa perlu memahami denyut nadi rakyat, dan Felda Kumai memberi kami ruang untuk belajar, berbakti dan membina legasi bersama komuniti setempat,” katanya.
Pelaksanaan program merangkumi pelbagai aktiviti teras seperti gotong-royong kampung, kenduri rakyat, rewang sekampung, penanaman pokok buah-buahan, mural komuniti, penghasilan rak mini serta pemeriksaan kesihatan awam yang memberi manfaat langsung kepada warga setempat.
Melalui segmen Lensa Desa Ratna, mahasiswa mendekati sejarah, identiti serta warisan Felda Kumai melalui rakaman visual dan naratif kehidupan peneroka.
Aspek pembudayaan disemarakkan melalui Anjung Budaya Wayang Pacak yang mempersembahkan warisan seni masyarakat melalui tayangan filem tempatan Mat Kilau. Di samping itu, aktiviti kecergasan seperti Sinar Run @ Felda Kumai dan Jejak Nostalgia: Eksplorasi Suka Rakyat terus menghidupkan suasana ceria serta memperkukuh interaksi santai antara mahasiswa dan penduduk desa.
Agenda paling signifikan ialah program Agihan Titipan Bakul Harapan, khusus untuk membantu beberapa keluarga penduduk Felda Kumai yang sedang berdepan musibah. Mahasiswa KUO bersama wakil komuniti turun padang menyantuni keluarga terlibat, menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas seperti makanan kering, kit kebersihan diri serta barang isi rumah.
Agihan ini bukan hanya meringankan beban keluarga terbabit, malah memperlihatkan sifat peduli mahasiswa terhadap kesusahan masyarakat luar bandar. Ia menjadi manifestasi nilai empati, ihsan dan solidariti sosial yang menjadi tunjang Projek Legasi Ratna.
Dalam majlis penutupan rasmi yang disempurnakan oleh Pengetua KUO, Prof. Dr. Mohd Nizam Nasrifan dalam ucapannya menegaskan betapa pentingnya pendidikan berasaskan pengalaman dalam membentuk sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.
“UPSI sentiasa menitikberatkan pembentukan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademiknya, tetapi juga memiliki kepekaan sosial, adab bermasyarakat dan keupayaan memimpin dalam pelbagai situasi. Program seperti Projek Legasi Ratna membuktikan bahawa pembelajaran paling berkesan berlaku apabila mahasiswa turun menyelami realiti masyarakat,” katanya.

“Saya amat berbangga dengan komitmen dan disiplin semua jawatankuasa, serta menghargai keterbukaan warga Felda Kumai yang menerima mahasiswa bukan sekadar tetamu, tetapi sebagai sebahagian daripada keluarga sepanjang program ini berlangsung,” katanya lagi.
Penghargaan dan lambaian penuh emosi antara mahasiswa dan keluarga angkat sebelum pulang ke kampus, melambangkan hubungan dua hala yang terbina dalam tempoh singkat tetapi sarat makna. Suasana syahdu itu menggambarkan kejayaan program bukan sahaja dari segi pelaksanaan, tetapi juga dari sudut nilai kemanusiaan serta keakraban yang terjalin.
Projek Legasi Ratna terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform latihan kepimpinan dan kesukarelawanan yang berimpak tinggi di Kolej Ungku Omar. Ia seiring dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan mahasiswa berperibadi luhur, berpaksikan nilai, berjiwa besar dan komited terhadap khidmat kemasyarakatan.


































