Prestasi MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2019 (S1 2019) terkesan berikutan harga gula yang rendah beserta peningkatan 15% dalam pengeluaran permit import (AP) dan penurunan mendadak dalam jumlah eksport.
UNTUK tempoh yang ditinjau, MSM, pengeluar gula bertapis terkemuka negara, telah mencatatkan penurunan 12% dalam hasil kepada RM485.62 juta berbanding RM549.06
juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.38 juta telah direkodkan untuk S1 2019, berbanding keuntungan selepas cukai sebanyak RM20.94 juta pada S1 2018.
Kumpulan telah mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM7.06 juta untuk S1 2019, berbanding keuntungan bersih berjumlah RM15.81 juta sebelumnya.
Penurunan hasil adalah berpunca daripada pengurangan sebanyak 11% dan 15% dalam
harga jualan purata (ASP) bagi sektor Domestik dan Industri MSM. Pasaran Malaysia telah
terjejas daripada kenaikan dalam pengeluaran AP kepada pihak industri, disusuli dengan
peningkatan penyeludupan gula ke Malaysia, sekaligus mengurangkan harga dalam pasaran domestik.
Penurunan dalam eksport sebanyak 81% dalam tempoh tersebut turut menjejaskan hasil syarikat berikutan persaingan tinggi dalam pasaran eksport akibat daripada lambakan
gula dunia.
Prestasi kewangan Kumpulan turut terjejas disebabkan pengurangan dalam nilai Ringgit kepada RM 4.1209 terhadap USD, berbanding RM4.0008 pada suku sebelumnya.
Pada S1 2019, MSM telah mengeluarkan 217,880 tan gula bertapis, pengurangan 1%
berbanding 218,976 tan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Walaubagaimanapun,
kos pengeluaran gula bertapis meningkat sebanyak 12% bagi tempoh yang sama disebabkan penyelenggaraan operasi berjadual, kos pembungkusan yang tinggi, kenaikan harga gas serta jumlah pengeluaran yang berkurang.
Ketua Pegawai Eksekutif MSM yang baru dilantik, Dato’ Khairil Anuar Aziz berkata, “Seperti
yang dijangkakan, permulaan bagi tahun 2019 adalah sukar berikutan cabaran yang dihadapi dari pelbagai sudut, bukan sahaja kita, malah dihadapi oleh pengeluar-pengeluar gula seluruh dunia.
Kami sentiasa memantau situasi dengan peka serta melaksanakan pelbagai mekanisma lindung nilai strategik bagi mengurangkan impak daripada ketidaktentuan harga dan matawang memandangkan kos operasi MSM sangat bergantung kepada harga gula mentah dunia dan tukaran asing.
“Di sebalik persaingan yang tinggi dalam pasaran domestik dan antarabangsa serta
peningkatan pengeluaran dalam kalangan negara pengeluar, MSM berjaya mengekalkan nilai pengurusan kewangan yang mantap dengan peningkatan baki tunai sebanyak 12%.
Ini telah memberi ruang untuk pengurusan modal yang lebih efisyen dan juga pelaksanaan inisiatif penjimatan yang lain bagi mengurangkan impak daripada penggearan tinggi.
Pengurusan modal yang efisyen akan kekal menjadi fokus utama pada tahun 2019,” jelas Khairil Anuar.
Mara ke hadapan, pasaran menjangkakan Ringgit akan terus lemah berbanding USD bagi
beberapa bulan berikutnya, akan tetapi, situasi dijangka akan bertambah baik pada suku
keempat 2019.
Selain itu, pelaksanaan cukai eksais (cukai soda) seperti yang dirancang untuk minuman bergula sebanyak RM0.40sen/liter bermula 1 Julai 2019 serta pengeluaran AP yang
dijangka lebih banyak akan turut memberikan kesan negatif kepada pencapaian MSM.
“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran di samping pasaran yang kurang
memberangsangkan, MSM akan memberikan fokus kepada kepimpinan pasaran dalam
Malaysia dan meluaskan jejak serantau.
“MSM akan terus meningkatkan kepelbagaian produk, menerokai peluang untuk kerjasama komersial, melupuskan aset-aset bukan teras dan melaksanakan inisiatif-inisiatif penjimatan kos,” kata Khairil Anuar.



































