Pengerusi NGO Antarabangsa, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican yang juga Kolonel Bersekutu (PA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya APM (PA) Muhammad Abidin Abd Rahman di pejabatnya, baru-baru ini.
Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan isu bencana alam yang berlaku setiap tahun seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran, ancaman binatang berbisa di kediaman dan lain lain isu termasuk bencana luar jangka.
Beliau berkata, sudah tiba masanya APM memperkasakan modul kesedaran kepada masyarakat selain memperkasakan peranan dan keanggotaan APM di seluruh Negara.
“Saya melihat sudah sampai masanya APM membuat pertambahan anggota tetap kerana peranan mereka semakin penting disebabkan bebanan tugas yang semakin mencabar sejak kebelakangan ini,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Abidin berkata, APM sedang bergerak ke arah itu dengan penekanan diberikan melalui kesedaran menerusi penubuhan kadet APM di sekolah rendah, menengah dan hampir semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Beliau berkata, APM merancang untuk memperluaskan skop dan peranan APM pada masa depan berdasarkan sambutan yang diterima amat baik.
Turut hadir Penolong Pesuruhjaya (PA) Ts Dr Mohamad Fazli Sardi dan mantan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Dato Zainal Abidin Ahmad.


































