HONOR Magic8 Pro bukan sekadar peranti yang dinaik taraf daripada model sebelumnya tetapi ia adalah manifestasi visi HONOR untuk menjadi perintis telefon pintar masa depan yang didorong kecerdasan buatan (AI).

Dalam lanskap dunia digital masa kini di mana “AI” menjadi satu keutamaan dan ciri yang paling pantas berkembang, peranti ini menonjol bukan sekadar pada kuasa pemproses, tetapi pada integrasi fungsi pintar yang benar-benar memberi nilai kepada pengalaman harian pengguna.

Dari Magic Portal hingga AI Deepfake Detection, HONOR seolah membina satu ekosistem AI “aktif” yang membantu pengurusan foto, privasi dan interaksi serta bukannya hanya ciri “gimik” semata-mata.

Magic8 Pro cukup menyerlah dengan rekaan premium dan skrin OLED 6.71 inci FHD+ 120Hz, memberikan paparan tajam dan warna hidup. Menariknya, skrin ini menyokong 1.07 bilion warna dan mampu mencapai kecerahan maksimum 6000 nits (HDR) — menjadikannya antara yang paling terang di pasaran ketika ini.

Perlindungan turut dipertingkat dengan kaca Giant Rhino, cukup tahan lasak untuk kegunaan harian.

CIRI AI

Peranti ini dilengkapi dengan pelbagai ciri AI masa kini yang sebelum ini dipadankan pada peranti HONOR bertaraf premium. Disenaraikan secara ringkas antara tujuh ciri AI dalam sistem MagicOS 10.

  • Magic Portal — Sebuah “pintu masuk” pintar yang membolehkan anda pantas menggunakan fungsi AI dalam mana-mana aplikasi. Ia seperti mempunyai “widget AI” yang sentiasa tersedia, menjadikan akses kepada ciri pintar lebih mudah dan kontekstual.
  • AI Screen Suggestions & AI Settings Agent — Sistem ini menganalisis tabiat pengguna dan cadangkan tindakan, seperti menukar tetapan bateri atau kecerahan, bergantung kepada corak penggunaan. Ini sangat berguna untuk menjimatkan kuasa atau mengoptimumkan prestasi ketika bermain game, menonton video, atau bekerja.
  • AI Photos Agent & AI Memories — Algoritma di sebalik pemprosesan imej Magic8 Pro bukan sahaja menyimpan foto tetapi “memahami” kenangan. Dengan AI Memories, foto–foto anda dikelompokkan secara pintar mengikut aktiviti, waktu atau lokasi. AI Photos Agent pula membantu mengemas kini, membersihkan atau memperbaiki foto secara automatik (contohnya membuang elemen yang tidak diingini, meningkatkan resolusi, atau menambah latar belakang).
  • AI Deepfake & Voice Cloning Detection — Ini sangat penting daripada segi privasi dan keselamatan. Dengan kebangkitan teknik manipulasi video dan suara menggunakan AI, HONOR memasukkan mekanisme untuk mengesan bila sesuatu klip mungkin “dipalsukan”. Bagi pengguna yang mementingkan identiti digital dan integriti kandungan, ini adalah langkah proaktif yang patut dipuji.
  • AI Subtitles — membolehkan anda merakam suara yang kemudiannya akan diterjemahkan dalam bentuk teks. Ciri ini cukup mudah bagi mereka yang bekerja dalam lapangan media, setiausaha mahupun pelajar. Anda tidak perlu menulis nota yang panjang dan memenatkan malah menjimatkan masa untuk tugasan harian.
  • AI Translate – membantu anda membuat terjemahan bahasa asing mengikut Bahasa dikehendaki mengikut masa secara langsung.

KAMERA ULTRA HEBAT

Magic8 Pro dibekalkan sistem tri-kamera AiMAGE:

  • 200 MP Ultra Night Telephoto (1/1.4″, OIS, apertur f/2.6)
  • 50 MP Ultra Night Main (1/1.3″, f/1.6)
  • 50 MP Ultra Wide + Makro (sudut 122°, f/2.0)

Kamera depan pula menggunakan 50 MP + depth sensor 3D, dan kedua-dua kamera (depan dan belakang) menyokong rakaman video 4K.

Kelebihan ciri kamera pada peranti ini

  1. Telefoto Ultra Night
    Sensor 200 MP dengan zum optikal 3.7× dan digital hingga 100× adalah sangat luar biasa di dunia telefon pintar. Dalam mod malam, sensor besar 1/1.4″ mampu menangkap lebih banyak cahaya sekali gus menjadikan jarak rakaman jauh tetap jelas, tanpa terlalu banyak hingar atau kehilangan butiran.
  2. Kamera Utama Besar
    Dengan apertur f/1.6 dan saiz sensor 1/1.3″, kamera utama memberi keseimbangan hebat antara kecerahan dan ketajaman. Dalam suasana kurang cahaya, ini membolehkan pengambilan imej berkualiti tinggi dengan gangguan bunyi dikurangkan.
  3. Ultra Wide + Makro
    Gabungan ultra lebar dan makro membolehkan pengguna merakam landskap yang luas dan juga objek kecil pada jarak dekat, tanpa perlu menukar lensa fizikal. Fleksibiliti ini sangat berguna untuk fotografi kreatif.
  4. Kemampuan Suntingan AI
    Fungsi seperti AI Upscale, AI Outpainting, AI Eraser, AI Cutout dan AI Color membolehkan pengguna memperhalusi foto selepas pengambilan, menjadikan Magic8 Pro seolah mempunyai studio suntingan dalam telefon. Contohnya, anda boleh membuang objek yang menganggu, memperbesar resolusi imej, menukar warna latar belakang, dan sebagainya — semuanya dengan bantuan AI.
  5. Motion Sensing Capture
    Ciri ini membolehkan kamera mengesan subjek yang bergerak dan menghasilkan tangkapan lebih tepat. Sangat berguna untuk fotografi subjek dinamik seperti kanak-kanak, haiwan peliharaan atau aksi cepat — dan amat sesuai untuk video pendek juga.
  6. Stabiliti & Kualiti Video
    Rakaman 4K dari belakang dan depan disokong dengan bantuan AI, hasil video lebih stabil serta tajam walaupun dalam keadaan kurang cahaya. Kualiti untuk vlog, perbualan video atau kandungan kreatif sangat tinggi.

Apa yang benar-benar menarik ialah bagaimana ciri AI pada peranti ini saling menyokong ciri pada sistem kameranya. AI bukan hanya sebagai pasukan sokongan; ia adalah “otak” di belakang kamera.

Malahan ada yang mengatakan spesifikasi atau ciri kamera pada peranti ini lebih hebat berbanding iPhone 17 khususnya hasil gambar yang dirakam tanpa mengeluarkan belanja besar untuk membeli peranti jenama epal ini.

BATERI

Satu lagi kelebihan Magic8 Pro ialah bateri silikon karbonnya cukup besar dengan pengecasan pantas 100W berwayar, 80W nirwayar, dan pengecasan berbalik. Dengan kapasiti sebesar ini, isu kehabisan bateri bukan lagi masalah besar.

Menariknya, Honor Magic8 Pro turut menerima sijil ketahanan IP68, IP69 dan IP69K, menjadikannya kalis air dan habuk pada tahap tertinggi. Malah, ia turut lulus ujian tahan jatuh 5-Bintang SGS, sesuatu yang jarang dilihat pada telefon flagship lain.

Daripada segi warna, pengguna boleh memilih antara Sunrise Gold, Sky Cyan, dan Black, semuanya menyerlahkan gaya elegan dengan sentuhan moden.

KESIMPULAN

Memiliki peranti canggih masa kini tidak terhad kepada sesuatu jenama sahaja. Anda boleh memiliki peranti yang canggih dengan semua ciri AI disatukan pada harga mampu milik tanpa perlu bersusah payah memuat turun atau membeli mana-mana aplikasi diperlukan untuk menyokong kerja atau tugasan seharian anda.

Banyak telah diceritakan mengenai peranti ini pada dua ulasan sebelum ini dan peranti buatan China kini sudah banyak mengubah persepsi negatif yang beranggapan tidak setanding atau ‘canggih’ seperti peranti buatan lain yang sedia ada dipasaran masa kini.

Honor Magic8 Pro seberat 219 gram ini banyak mengubah persepsi ini dan menjadi satu peranti yang wajib dimiliki disebabkan sistem sokongan AI yang stabil, ciri kamera yang hebat dan kini menguasai pasaran besar peranti mudah alih di negara ini.

HARGA

HONOR Magic8 Pro boleh didapati dalam tiga warna yang elegan: Sunrise Gold, Sky Cyan dan Black. Telefon pintar ini akan tiba di Malaysia dalam varian 12GB+512GB pada harga RM4599, manakala varian 16GB+1TB pada harga RM5199. Peranti ini akan tersedia untuk jualan di semua kedai seluruh negara mulai 5 Disember 2025. 

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini